fbpx
Abd. Hamid (kiri) ditemani anak bongsunya, Muhammad Haikal menunjukkan gambar mereka sekeluarga semasa ditemui di Sungai Petani hari ini.

‘Saya hilang anak perempuan, tolong cari orang yang langgar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – “Saya kehilangan anak perempuan yang menjadi harapan keluarga dan apa yang saya mahukan sekarang adalah menuntut keadilan buat arwah.”

Demikian kata Abd. Hamid Hussin, 60, bapa kepada Allahyarham Nur Ellysa, 24, graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang maut selepas motosikal jenis Honda Vario ditunggang bersama ibunya, Nur Ezarinawati Ibrahim, 46, dipercayai dirempuh kenderaan.

Dua beranak itu terlibat dalam kejadian langgar lari dekat Plaza Tol Gurun arah selatan di sini kira-kira pukul 6.30 pagi, Sabtu lalu.

Menurut Abd. Hamid, anaknya yang cedera parah di kepala meninggal dunia selepas lima jam menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, manakala isterinya masih dirawat ekoran kecederaan patah paha dan tangan kiri serta retak tulang belakang.

“Saya kehilangan anak yang menjadi harapan keluarga. Sehingga kini pelakunya masih bebas. Harapan saya pelaku yang melanggar motosikal dinaiki arwah dan isteri saya dapat dikesan segera dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tukang rumah itu berkata, dia kecewa dan terkilan kerana individu yang melanggar anak dan isterinya bertindak melarikan diri selepas kejadian.

Menceritakan semula kejadian, katanya, dia hampir pengsan selepas isterinya memberitahu mereka dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari rumah sewa di Guar Chempedak ke Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Ketika itu isteri dalam perjalanan menghantar arwah ke tempat kerjanya di sebuah gudang syarikat penghantaran barang di Kepala Batas kerana anak tidak tahu menunggang motosikal selain tidak mempunyai lesen memandu.

“Saya bergegas ke lokasi dan tiba setengah jam kemudian sebelum melihat isteri terbaring menahan kesakitan, manakala anak kami masih lagi bernafas,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, usaha mengesan pemandu dan kenderaan terlibat sedang dilakukan dan saksi kejadian tampil diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4299222 untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI