LONDON – Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner menganggap pasukannya berhak untuk mendapatkan tiga mata selepas menewaskan Fulham 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage awal pagi tadi.
Walaupun terpaksa menanti hingga ke hujung permainan, Glasner juga merasakan nasib turut memainkan peranan besar kepada kemenangan kali ini sekali gus melonjak ke tangga keempat ketika ini.
“Bagi saya, ini adalah permainan berkualiti dan saya fikir kami bernasib baik kerana jaringan (Fulham) dibatalkan tetapi kami ada peluang untuk memenangi perlawanan. Kredit perlu diberikan kepada pemain dan kami berhak untuk menang.
“Cukup penting untuk meraih kemenangan bagi memberikan keyakinan. Selain itu, adalah penting untuk kami kekal dengan aksi lebih kritikal dan membuat analisa permainan sendiri,” katanya.
Eddie Nketiah meletakkan Palace di depan, namun disamakan oleh Harry Wilson, manakala gol Emilie Smith Rowe dibatalkan kerana offsaid sebelum Marc Guehi meledak gol kemenangan buat pelawat.
Dalam masa sama, Glasner menjelaskan pasukannya hanya mempunyai satu pilihan iaitu perlu memenangi perlawanan dan bukannya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri.
“Kami sentiasa mampu menjaringkan gol dan bertahan dengan baik. Saya tidak boleh menyebut ramai pemain tetapi ini adalah usaha yang hebat daripada seluruh pasukan,” katanya. – AGENSI














