PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menyambut baik penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) yang dilihat mampu menjadi platform profesional penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara pengamal media meja jenayah dan agensi penguatkuasaan negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penubuhan CiJA memberikan nilai tambah kepada ekosistem pelaporan isu jenayah dan imigresen, khususnya dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah lebih tepat, berimbang dan bertanggungjawab.
“Dengan adanya satu wadah yang menghimpunkan wartawan meja jenayah secara profesional, masyarakat berpeluang memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai isu-isu imigresen yang lazimnya bersifat rumit dan sensitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, dari sudut agensi, kewujudan CiJA membolehkan JIM berinteraksi dengan media secara lebih teratur dan mendalam, sekali gus membantu memastikan perkongsian maklumat tidak menjejaskan operasi penguatkuasaan yang sedang dijalankan.
Beliau berkata, reformasi imigresen bukan sekadar melibatkan penambahbaikan sistem dan teknologi, namun turut bergantung kepada kefahaman masyarakat terhadap usaha yang dilaksanakan JIM di lapangan.
“Ketelusan, penjelasan yang tepat serta komunikasi yang bertanggungjawab merupakan asas kepada pembinaan kepercayaan awam. Dalam hal ini, JIM melihat CiJA sebagai rakan strategik yang mampu membantu meningkatkan pemahaman rakyat terhadap dasar dan tindakan penguatkuasaan imigresen,” katanya.
Sehubungan itu, JIM bersedia mengadakan sesi penerangan secara berkala berkaitan undang-undang dan dasar imigresen, selain berkongsi perkembangan penguatkuasaan serta trend semasa termasuk usaha pendigitalan perkhidmatan.
Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan menyokong pengamal media untuk menghasilkan laporan yang lebih berasaskan fakta dan tepat.
Katanya, JIM turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu CiJA serta menghargai komitmen media dalam mendidik masyarakat berkaitan keselamatan dan kepatuhan imigresen.
“JIM akan terus bekerjasama rapat dengan rakan media bagi memastikan naratif imigresen yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, mudah difahami dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE














