KEMAMAN – Mayat Muhammad Anuar Syhukrimi Mahmod, 31, yang tergelincir dari Jeti Geliga Che Akob, di sini pada Jumaat lalu ditemui terapung di Sungai Kemaman di sini hari ini.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat mangsa pada pukul 9.05 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, mayat Muhammad Anuar Syhukrimi ditemui terapung pada kedudukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
“Proses pengecaman telah dilakukan ahli keluarga mangsa di pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Muhammad Anuar Syhukrimi dikatakan terjatuh ke dalam sungai sewaktu menyaksikan fenomena air pasang besar bersama rakan-rakannya di Jeti Geliga Pak Akob pada pukul 10 malam kelmarin.
Rakan-rakan cuba mencari mangsa, namun gagal sebelum memohon bantuan pihak berkuasa pada pukul 2.26 petang semalam. – KOSMO! ONLINE














