“AKU bekas pesakit kanser pun boleh buat, apatah lagi yang sihat.”
Ungkapan ringkas itu kedengaran seperti kenyataan mendabik dada, namun jika diamati dengan baik kata-kata itu merupakan dorongan buat mereka yang takut untuk menceburi aktiviti selam skuba.
Setelah disahkan menghidap kanser darah pada Januari tahun lalu, Ahmad Fauzi Abdul Samad, 53, bertarung nyawa demi meneruskan kehidupan sehingga disahkan sembuh setahun kemudian.
Enggan mempersiakan nyawa ‘kedua’ yang dianugerahkan, Fauzi mahu menikmati sepenuhnya kehidupan dengan lebih mendalami aktiviti selam skuba di samping menjadikannya sebagai pembakar semangat dalam meneruskan kehidupan.
Disebabkan itu, sebalik pulih, ‘survivor’ kanser itu terus mengambil lesen skuba Open Water Diving (OWD) di Pulau Perhentian, Terengganu dan Advance Open Water Diving (AOWD) di Pulau Tioman pada 5 September dan 2 Oktober lalu.
Berpengalaman melakukan selam skuba atau Discovery Scuba Diving (DSD) pada 2015, Fauzi kini ‘tersedar’ antara momen lampau yang paling memberi ketenangan kepadanya adalah selam skuba di dalam lautan.
“Pertama kali berpeluang meneroka dunia lautan membuatkan saya berasa tertarik dengan perasaan tenang dan keterujaan yang datang dengan berada di bawah permukaan air.
“Selam skuba adalah satu aktiviti yang membuka dunia baharu yang penuh misteri dan keindahan.
“Selepas pulih daripada kanser, saya cuba mencari apakah hal yang boleh memberikan saya ketenangan dan teringat pernah melakukan selam skuba, lalu saya memilih untuk mengambil lesen selam skuba bagi meningkatkan kemahiran dan keselamatan di dalam air demi menerokai lebih banyak lautan dan menyelam lebih dalam,” katanya ketika dihubungi CitaRasa.
Selam skuba bermaksud aktiviti menyelam di bawah permukaan air dengan menggunakan peralatan pernafasan kendiri (Self-Contained Underwater Breathing Apparatus atau SCUBA).
Secara asas, selam skuba merupakan gabungan ilmu keselamatan, kawalan peralatan dan keupayaan mengurus persekitaran air yang membolehkan seseorang meneroka dunia laut dengan selamat dan terkawal.
Aktiviti selam skuba turut memberi peluang kepada Fauzi untuk menikmati keindahan pemandangan terumbu karang yang berwarna-warni dan pelbagai jenis kehidupan laut seperti mobula ray atau pari terbang.
Bagi Fauzi, aktiviti selam skuba memberikan ketenangan dan kebebasan yang tidak dapat dirasai olehnya di darat.
Suasana tenang ketika berada di bawah laut dan fokus pada pernafasan boleh bertindak sebagai meditasi sekali gus mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan mental.
Perkara itu tentu saja sangat memberi manfaat buat bekas pesakit kanser yang perlu menjalani kehidupan dengan lebih sihat dan bebas tekanan.
Bercakap tentang tekanan, jurulatih selam skuba Mohamad Firdaus Mohd. Salleh, 36, mempunyai perkongsian menarik mengenai tindak balas laut yang mampu membantu mengurangkan anxiety, stres dan depresi.
Air laut kaya dengan pelbagai bahan mineral semula jadi dan dianggarkan 37 dari 50 mineral penting ada di dalam lautan.
“Mineral seperti magnesium, sodium, potassium serta iodin baik untuk manusia. Mineral ini memberi kesan positif kepada sistem saraf dan tubuh manusia sekali gus membantu mengurangkan tekanan dan anxiety, manakala ion mineral dalam laut membantu mengimbangi elektrolit badan.
“Tekanan hidrostatik air menenangkan sistem saraf dan boleh menjadi terapi tekanan dalam atau deep pressure therapy.
“Kandungan magnesium yang tinggi dalam laut dapat menurunkan tahap hormon stres atau dikenali sebagai kortisol. Disebabkan itu, gabungan mineral di laut sempurna untuk menyeimbangkan sistem saraf dan mengurangkan anxiety,” ujarnya.
Bagi Firdaus, disebabkan selam skuba membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan fokus menjadikan aktiviti ini sebagai alternatif rekreasi yang sihat.
Sebagai individu profesional dan aktif mengajar aktiviti selam skuba, Firdaus memberitahu, dia menyaksikan terdapat peningkatan minat masyarakat untuk mengikuti aktiviti ini dan mengambil lesen selam skuba sehingga boleh dianggap trend popular masa kini.

Ia banyak dimainkan oleh peranan media sosial yang menjadi platform mempromosikan aktiviti ini.
“Aktiviti selam skuba menjadi satu trend yang semakin berkembang terutama kalangan golongan muda, pengembara, pencinta alam serta mereka yang mencari pengalaman baharu serta mencabar.
“Media sosial menjadi platform terbaik dalam mempromosikan aktiviti ini dengan memaparkan keindahan dunia bawah air. Perkongsian gambar dan video menyelam di Instagram dan TikTok menjadikan aktiviti ini kelihatan menarik, eksklusif dan bucket-list worthy (impian berbaloi),” ujarnya.
Menyentuh mengenai pengambilan lesen, Firdaus berkata, lesen menyelam boleh didapati di mana-mana pusat latihan atau jurulatih profesional bertauliah dan berdaftar di bawah agensi antarabangsa Professional Association of Diving Instructor (PADI).
“Antara manfaat atau kelebihan memiliki lesen ialah seseorang itu boleh menyelam di seluruh dunia. Lesen seperti PADI Open Water Diver diiktiraf antarabangsa. Dengan lesen, anda boleh menyelam hingga 18 meter di mana-mana negara.
“Anda boleh akses ke tempat menyelam yang lebih menarik dengan menyertai pelbagai trip di dalam dan luar negara. Tanpa lesen, anda terhad kepada Discovery Scuba,” terangnya.
Jelas Firdaus, semasa kursus, peserta akan belajar cara menggunakan peralatan, kawalan apungan, pernafasan yang betul dan prosedur kecemasan.
“Ini menjadikan setiap selaman lebih terkawal, selamat dan selesa,” katanya.
Firdaus turut menasihatkan agar pemula tidak perlu berasa bimbang kerana kemalangan melibatkan selam skuba hanya 0.02 peratus dan angka itu sangat rendah jika dibandingkan dengan kemalangan jalan raya.
Meskipun aktiviti ini kelihatan sesuai dilakukan oleh semua orang, namun Firdaus menegaskan terdapat beberapa hal yang perlu diambil kira bagi memastikan keselamatan dan tidak mengancam nyawa.
“Bagi mereka yang takut kepada hal ekstrem atau aktiviti melibatkan air mungkin dilihat tidak sesuai. Disebabkan itu kita perlu individu yang mempunyai minat dan berani menyahut cabaran.
“Individu yang mengalami masalah kesihatan tertentu, mudah panik atau tiada minat akan menyukarkan proses latihan” katanya.
Sebagai panduan buat mereka yang ingin mencuba selam skuba, Firdaus mencadangkan agar pemula tidak terburu-buru untuk meneroka alam laut setelah menonton video individu yang sudah mahir.
Sebaiknya pilih kawasan air tenang dengan kemampuan penglihatan yang baik, tidak terlalu dalam dan memiliki arus minimum bagi memudahkan untuk berenang.
“Lokasi pilihan utama saya untuk melatih adalah di Kampung Salang di Pulau Tioman. Kampung Salang mempunyai pantai yang tenang dan dihiasi dengan taburan terumbu karang bersama hidupan marin yang cantik.
“Walaupun sebagai pemula, peserta berpeluang untuk melihat pelbagai spesies hidupan laut seperti penyu, ikan dan pelbagai lagi semasa latihan,” katanya.
Keindahan panorama alam dasar laut juga menjadi tarikan Nia Ezzati Mohd. Hariri, 33, menjadikan dunia selam skuba bukan sekadar hobi semata-mata.
Baginya selam skuba bagaikan satu dimensi berbeza yang memberi ruang untuk bernafas, mendapatkan ketenangan jiwa dan meneroka versi terbaik dalam dirinya termasuk membina keyakinan diri.
“Setiap kali saya turun ke bawah (dalam air), perasaan saya memang sukar untuk dijelaskan. Awalnya perasaan gementar itu memang ada, tetapi selepas masuk saja ke dalam air, rasa tenang seperti menyelubungi diri, bebas dan berasa seperti masuk ke dunia lain.
“Tiada bunyi bising seperti di daratan dan itu menjadi detik yang membuatkan saya bersyukur dan teruja kerana diberikan kesempatan untuk melihat keindahan alam dalam air,” katanya.
Mengenai keselamatan, Nia berkata, jika kita mengikuti prosedur yang betul dan patuh pada arahan segalanya akan selamat.
“Pekalah terhadap keadaan sekeliling dan sentiasa bergerak bersama teman kerana aktiviti ini tidak boleh dilakukan secara sendirian,” ujarnya yang mula melibatkan diri dengan aktiviti ini sejak 2018.
Sudah menyelam di beberapa kawasan seperti Pulau Tioman, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Weh, Pulau Sipadan, Pulau Lanyakan dan Maldives, baginya setiap lokasi mempunyai keunikan masing-masing dan menyimpan ceritera tersendiri.














