PETALING JAYA – Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan komposisi penduduk muda tertinggi di Malaysia apabila 31.4 peratus penduduknya berumur antara sifar hingga 14 tahun.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, Terengganu berada di kedudukan kedua dengan 27.2 peratus diikuti Kelantan (27.1 peratus), Labuan (24.6 peratus) dan Kedah (23.3 peratus).
Katanya, bagi kumpulan umur bekerja antara 15 hingga 64 tahun pula, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat peratusan tertinggi iaitu 76 peratus.
Pulau Pinang berada di tempat kedua dengan 73.1 peratus, diikuti Perlis (72 peratus), Johor (71.4 peratus) dan Sarawak (71.2 peratus).
Menurut DOSM, bagi kategori belia berumur 15 hingga 30 tahun, Sabah merekodkan peratusan tertinggi iaitu 33.4 peratus diikuti Perlis (31.8 peratus), Kelantan (31.1 peratus), Johor (29.1 peratus) dan Terengganu (28.7 peratus) – KOSMO! ONLINE














