PASIR PUTEH – Seorang ibu terkilan apabila tidak sempat melamar bakal menantunya dua minggu lagi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dinaiki itu hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring, Kuala Berang dekat Terengganu semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang itu, Hassan Shazali, 52, yang juga seorang guru, dan pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ibu kepada Allahyarham Hassan, Mek Som Ishak, 82, berkata, dia dan keluarganya akan ke Kampung Lebir, Gua Musang pada 20 Disember ini untuk melamar arwah Suzaimah sebelum majlis akad nikah lima hari kemudian.
Menurutnya, dia tidak menyangka anaknya tidak sempat melangsungkan perkahwinan buat kali kedua selepas berpisah dengan isteri pertama kira-kira tiga bulan lalu.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah pada Sabtu lalu sebelum dia bertolak ke Kampung Lebir selepas pulang bercuti di rumah. Sepanjang berada di rumah, arwah ada menceritakan hasratnya untuk berkahwin dengan Suzaimah pada cuti Hari Krismas.
“Arwah Hassan meminta saya datang awal ke ke Kampung Lebir yang merupakan kampung halaman Suzaiman kerana mahu melamar wanita pilihannya itu dahulu sebelum majlis akad nikah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kedai Menanti, Selising di sini hari ini.
Mek Som memberitahu, difahamkan, kemalangan berlaku ketika arwah bersama bakal isterinya sedang dalam perjalanan pulang ke Kampung Lebir selepas membeli barangan persiapan perkahwinan termasuk baju pengantin yang turut ditemui di dalam SUV tersebut.
Menurutnya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti, Selising di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














