PETALING JAYA – Keputusan AirAsia membenarkan kru kabinnya bertugas dengan memakai hijab sebagai satu perkembangan positif yang selari dengan identiti serta tuntutan agama majoriti rakyat Malaysia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan tersebut bukan sahaja memenuhi hak pekerja Muslimah, malah membuktikan syarikat penerbangan itu semakin peka terhadap nilai masyarakat tempatan.
“Langkah ini perlu dipuji kerana ia memberi ruang kepada pekerja Muslimah menunaikan kewajipan tanpa menjejaskan profesion mereka. Pemakaian hijab bukan sekadar soal penampilan, tetapi mencerminkan kebebasan beragama serta integriti pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, dasar tersebut tidak seharusnya terhenti pada aspek pakaian sahaja, sebaliknya diperluaskan kepada amalan mesra syariah secara menyeluruh dalam operasi syarikat.
“AirAsia wajar memperkemas prosedur kerja, garis panduan operasi, penyediaan makanan dan minuman, latihan integriti serta polisi perkhidmatan pelanggan agar selari dengan kehendak syariah,” katanya.
Beliau turut menyeru supaya industri penerbangan nasional menjadikan langkah AirAsia sebagai contoh penting dalam memperkukuh imej Malaysia sebagai negara majoriti Muslim yang menghormati nilai Islam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin syarikat penerbangan itu yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas yang dijangka bermula Ramadan depan.
AirAsia dilapor berkata, dalam konteks ini, pakaian seragam kru kabin AirAsia yang berwarna merah akan kekal dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional mengikut reka bentuk yang sama seperti dipakai oleh kru bertugas di laluan Jeddah. – KOSMO! ONLINE














