PERDEBATAN mengenai tindakan memuat naik gambar ibadah korban di media sosial kembali hangat setiap kali sambutan Aidiladha apabila terdapat segelintir pihak meminta umat Islam tidak berkongsi gambar penyembelihan haiwan atas alasan menjaga sensitiviti masyarakat lain.
Sebahagian lain pula mempertahankan bahawa ibadah itu merupakan syiar Islam yang tidak seharusnya dipandang negatif atau disembunyikan.
Penganalisis melihat polemik itu sebagai gambaran wujudnya kelompok Muslim yang semakin bersikap terlalu apologetik sehingga berasa serba salah untuk menzahirkan syiar agama sendiri di ruang awam termasuk media sosial.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, umat Islam sememangnya dituntut menjaga sensitiviti serta menghormati penganut agama lain, namun ia tidak bermaksud syiar Islam perlu disorokkan.
“Muslim semakin apologetik? Saban tahun, semakin banyak hantaran sebegini daripada kalangan mereka yang mengaku Muslim.
“Mereka ini mahu menunjukkan betapa ‘harmoni’ nya mereka dengan menjaga sensitiviti pihak lain,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, Islam sendiri telah lama mengajar konsep toleransi termasuk larangan mencerca sembahan agama lain serta memusnahkan rumah ibadat walaupun ketika perang.
“Namun bukan dengan meminta Muslim tidak menzahirkan syiar agama Islam,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa segelintir umat Islam begitu cepat meminta kaum sendiri tidak memuat naik gambar berkaitan syiar agama sendiri, sedangkan perkara sama tidak dibangkitkan ketika penganut agama lain meraikan perayaan mereka.
“Kenapa pula Muslim yang terpaling harmoni dan apologetik ini tidak membuat seruan agar pihak lain jangan muat naik gambar perayaan dan syiar agama mereka,” ujarnya.
Katanya, azan dan ibadah korban adalah syiar Islam yang wajar dibanggakan selagi tidak melibatkan penghinaan atau kezaliman terhadap agama lain.
“Azan itu syiar Islam. Korban itu syiar Islam. Berbangga dengan Islam dan syiar Islam bukan bermakna kita menzalimi agama lain, malah antara bukti kebanggaan kita dengan Islam dan syiar Islam ialah dengan memberikan hak penganut agama lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak terlalu malu untuk menampilkan identiti agama sendiri sehingga akhirnya hilang rasa bangga terhadap Islam.
“Saya teringat satu kata-kata yang dinisbahkan kepada Umar Ibn Khattab, ‘Aku risau akan tibanya satu hari di mana kuffar akan berbangga dengan kekufuran mereka, manakala Muslim akan malu dengan keislamannya.’ Jadi adakah kita sedang melihat zaman itu?” katanya.
Sementara itu, pendakwah dan pensyarah, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle turut berpandangan bahawa ibadah korban tidak sepatutnya dianggap isu besar sehingga perlu disembunyikan daripada pengetahuan umum.
“Tidak perlu terpaling nak ‘common sense’. Korban adalah ibadah dan syiar umat Islam yang sejak sekian lama dihebahkan. Tidak menjadi masalah pun,” katanya.
Beliau turut memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi kamu agamamu, dan bagiku agamaku.”















