KUALA LUMPUR – Kegagalan mempamerkan nombor pendaftaran perniagaan dan syarikat antara kesalahan utama yang dikesan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi pemeriksaan Ops Belanja di Maluri, Pantai Dalam dan Segambut Dalam di sini hari ini.
Pemeriksaan yang dijalankan SSM bersama Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati beberapa premis gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
“Di Jalan Jejaka 9, Maluri, sebanyak 17 premis diperiksa melibatkan sembilan syarikat dan lapan perniagaan.
“Lima syarikat didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(1) kerana gagal mempamerkan nama berdaftar serta nombor pendaftaran syarikat di premis perniagaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut SSM, turut dikesan satu kesalahan di bawah Seksyen 30(2), selain dua kesalahan mengikut Kaedah 17A(2) dan satu kesalahan di bawah Kaedah 13(2).
“Di Pantai Dalam pula, pemeriksaan terhadap tiga premis perniagaan merekodkan tiga kesalahan di bawah Kaedah 17A(2), satu kesalahan di bawah Kaedah 13(2) dan satu kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(a) kerana menjalankan perniagaan menggunakan lesen yang telah tamat tempoh,” ujarnya.
Sementara itu, di Segambut Dalam, satu kesalahan di bawah Kaedah 17A(2) dikesan hasil pemeriksaan terhadap tiga premis perniagaan kerana gagal mempamerkan papan tanda seperti yang ditetapkan.
Dalam operasi sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut menjalankan pemeriksaan terhadap 16 premis dan mengeluarkan 10 kompaun melibatkan kesalahan berkaitan harga serta Akta Timbang dan Sukat.
“Jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM6,500,” katanya. – KOSMO! ONLINE














