KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 peratus daripada 25,000 pesakit yang menerima rawatan di pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari tahun 2014 sehingga sekarang berjaya kembali ke alam pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pesakit terbabit sama ada kembali kepada pekerjaan terdahulu atau memperoleh pekerjaan lain selepas pulih.
“Maksudnya mereka boleh dipulihkan sehingga mampu berfungsi secara normal dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung keberkesanan rawatan pusat rehabilitasi Perkeso kepada pencarum yang memerlukan.
Steven Sim berkata, sebanyak 30 peratus lagi pesakit yang menerima rawatan di pusat rehabilitasi Perkeso termasuk mereka yang telah pulih, namun memilih untuk bersara atas alasan peribadi.
Menurut beliau, manakala sebahagian yang lain pula merupakan pesakit dengan kes yang lebih serius termasuk yang masih terlantar di atas katil.
“Tetapi apa yang kita boleh perhatikan adalah kualiti kehidupan mereka semakin meningkat. Perkeso bukan selepas rawatan di pusat rehab, kita tinggalkan begitu saja.
“Bagi kes yang serius kita sambung rawatan rehab di rumah. Berikan rawatan dan penjagaan berterusan dan itulah apa yang saya nak sebutkan faedah atau manfaat caruman Perkeso,” katanya. – KOSMO! ONLINE














