fbpx
Dua anak kepada tukang masak yang maut ditikam suami dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini semalam berkemungkinan akan dijaga oleh nenek saudara dan kakak tiri mereka.

Nenek saudara, kakak tiri jaga dua anak tukang masak maut ditikam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Dua anak kepada tukang masak yang maut ditikam suami dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini semalam berkemungkinan akan dijaga oleh nenek saudara dan kakak tiri mereka.

Adik mangsa, Ahmad Hafizan Abdullah, 22, berkata, perkara mengenai hak penjagaan dua beradik berusia 10 dan 12 tahun itu masih dalam perbincangan pihak keluarga selepas kakaknya, Mastura Abdullah, 40, meninggal dunia dalam kejadian yang menyayat hati.

Menurutnya, emosi yang anak kedua kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam ketika ini stabil meskipun dia melihat kejadian yang menimpa ibunya semalam.

“Alhamdulillah, dua anak saudara saya itu mempunyai kakak tiri yang baik dan sentiasa mengambil berat tentang mereka. Kakak tiri itu adalah anak kepada suspek yang merupakan bapa mereka pada perkahwinan terdahulu.

“Nenek saudara juga sudah biasa menguruskan dua beradik itu termasuk mengambil mereka di sekolah memandangkan suspek dan arwah kakak saya bekerja sebelum ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Hafizan memberitahu, dua anak saudaranya itu juga sudah mula bercakap dengan saudara-mara lain selepas kejadian tersebut.

Menurutnya, anak sulung arwah kakaknya juga masih meneruskan persekolahan seperti biasa meskipun masih terkejut dengan kematian yang menimpa ibunya,

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang tukang masak yang dibunuh suaminya dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini meninggal dunia selepas ditikam dengan dua tikaman pada bahagian belakang badannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd.Yusoff berkata siasatan mendapati, mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum ditikam dengan menggunakan sebilah pisau.

“Kejadian itu berlaku selepas mangsa mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan baru sahaja tiba di rumahnya dari Lembah Klang sebelum dibunuh suaminya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI