KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan lebih 400,000 permohonan harta intelek dalam tempoh enam tahun bermula 2019 hingga September tahun ini, sekali gus menggambarkan peningkatan kesedaran pelabur dan pencipta terhadap kepentingan melindungi aset inovasi mereka.
Menurut statistik dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebanyak 405,555 permohonan harta intelek direkodkan sepanjang tempoh itu, merangkumi cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian dan petunjuk geografi.
MyIPO yang juga di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata daripada jumlah tersebut, 147,435 permohonan datang daripada pemohon tempatan manakala 258,120 lagi adalah pemohon asing.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 295,361 permohonan telah diluluskan dan didaftarkan, dengan 101,063 pendaftaran melibatkan pihak tempatan dan 194,298 pendaftaran oleh pemohon luar negara.
“Tahun 2022 merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 51,455 pendaftaran, diikuti 2024 dengan 51,592 pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.
Tambah MyIPO, dari segi tren tahunan, 2024 menjadi tahun dengan permohonan tertinggi apabila 65,660 permohonan harta intelek difailkan, meningkat daripada 61,600 pada 2023.
Katanya, bagi Januari hingga September tahun ini sahaja, sudah 51,564 permohonan direkodkan, hampir menyamai jumlah keseluruhan 2020.
“Perbandingan prestasi antara Januari hingga September 2024 dan tempoh sama tahun ini menunjukkan peningkatan ketara kira-kira sembilan peratus, apabila jumlah permohonan naik daripada 47,283 kepada 51,564.
“Peningkatan itu disumbangkan oleh semua kategori utama, khususnya cap dagangan yang kekal menyumbang bahagian terbesar permohonan,” ujarnya.
Selain harta intelek berdaftar, MyIPO berkata minat untuk memberitahu karya hak cipta juga menunjukkan perkembangan positif.
Ujarnya bagi tempoh 2019 hingga September 2025, sebanyak 55,352 permohonan pemberitahuan karya hak cipta diterima merangkumi karya sastera, seni, filem, muzik, rakaman bunyi dan terbitan.
Jelasnya, karya sastera menyumbang jumlah paling besar iaitu 42,805 permohonan, diikuti karya seni (5,381) dan filem (3,400).
Lonjakan dalam pemberitahuan karya muzik, rakaman bunyi dan terbitan sejak 2024 juga dilihat seiring perkembangan pesat kandungan digital, platform penstriman serta penerbitan dalam talian.
Pada sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, permohonan bagi kategori filem mencecah 1,443 berbanding hanya 329 sepanjang 2024, manakala kategori terbitan melonjak kepada 1,629 permohonan berbanding 499 pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














