TEMERLOH – Tiga cubaan sindiket untuk menyeludup basikal elektrik, beras, tepung dan rokok putih dengan nilai keseluruhan RM1.31 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam beberapa operasi berasingan sepanjang Oktober lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata, rampasan turut melibatkan anggaran cukai dan duti sebanyak RM916,466.
“Kes pertama melibatkan rampasan 434 unit basikal elektrik yang ditemui dalam sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 9 Oktober sekitar pukul 10.50 pagi.
“Basikal elektrik ini diisytiharkan sebagai ‘Racing Bicycle dan Kids Bicycle, sedangkan ia termasuk dalam kategori barang larangan import yang memerlukan permit khas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan basikal elektrik itu dianggarkan RM272,200 dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM127,981, dan kes berkenaan masih dalam siasatan.
Sementara itu, Mohd. Asri berkata, dua kontena bersaiz enam meter yang diisytiharkan membawa tepung turut disita pada hari sama sekitar pukul 1 petang selepas JKDM menemui guni beras yang disembunyikan bersama muatan tepung.
“Sebanyak 7,980 kilogram tepung beras dianggarkan bernilai RM23,940 dan 41,600 kilogram beras mencecah RM832,000, dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM332,800,” ujarnya.
Beliau berkata beras yang dipercayai mahu diedarkan ke restoran seluruh negara itu diklasifikasikan sebagai larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit daripada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) serta pemeriksaan MAQIS.
katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, beliau berkata, anggota JKDM Stesen Temerloh berjaya menahan sebuah lori di Klang pada 13 Oktober lalu sekitar pukul 9.45 pagi yang membawa 113,920 paket rokok putih bersamaan 2.28 juta batang ekoran disyaki tidak berkastam.
“Rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM182,272, dengan jumlah duti terlibat sebanyak RM455,680.
“Pemandu lori warga Myanmar berusia 38 tahun itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Klang pada 10 November dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,”ujarnya.














