fbpx
SEBUAH treler bersama muatan beras putih disita di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Helah sorok beras putih bawah temukut lalu ICQS gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Helah menyorokkan 20,600 kilogram (kg) beras putih di bawah 12 beg jumbo berisi temukut bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila sebuah treler ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini malam tadi.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd. Yusof berkata, pegawai Kementerian Kesihatan AKPS mengesan cubaan menyeludup beras putih yang tidak diisytiharkan hasil pemeriksaan di Balai Pemeriksaan Kesihatan Kompleks ICQS kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, kejadian dikesan selepas pegawai menerima dokumen bagi satu konsainan yang diikrarkan membawa temukut sebelum merujuk treler tersebut ke Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E untuk pemeriksaan menyeluruh.

“Berdasarkan dokumen pengisytiharan, konsainan berkenaan membawa 32 beg jumbo temukut dengan jumlah berat keseluruhan 33,040 kg. Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati hanya 12 beg jumbo mengandungi temukut yang diletakkan di bahagian atas muatan, manakala 20 beg jumbo lagi didapati berisi beras putih yang tidak diisytiharkan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, beras putih itu dipercayai cuba diseludup dengan menyembunyikannya di bawah timbunan temukut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati setiap daripada 20 beg jumbo tersebut mengandungi kira-kira 1,030 kg beras putih dengan anggaran berat keseluruhan rampasan sebanyak 20,600 kg. Nilai anggaran rampasan adalah kira-kira RM64,000 dan beras berkenaan didapati tidak mempunyai pengisytiharan kastam yang sah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, treler yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an bersama muatan beras dan temukut tersebut telah disita.

“Kes akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN