WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberikan amaran keras kepada diktator Venezuela, Nicolas Maduro melalui panggilan telefon, lapor portal berita New York Post semalam.
Amaran itu mengarahkannya untuk meletakkan jawatan dan berundur atau berdepan akibat ketika ketegangan meningkat antara Caracas dengan Washington.
Menurut portal berita Miami Herald yang memetik sumber, dalam satu panggilan telefon antara Trump dan Maduro, presiden Venezuela itu menuntut agar beliau dibenarkan mengekalkan kawalan ke atas tenteranya.
Tuntutan itu dibuat jika Madurto mengadakan pilihan raya bebas di negaranya.
Presiden Venezuela itu juga dilaporkan meminta pengampunan global atas semua jenayah yang didakwa dilakukannya.
Namun, Trump menolak kedua-dua permintaan itu sebelum presiden AS itu membuat tawaran yang mungkin sukar ditolak oleh Maduro iaitu berundur sekarang atau terima akibatnya.
Trump juga memberi amaran bahawa operasi ketenteraan di dalam Venezuela mungkin akan bermula tidak lama lagi.
Sejak berbulan-bulan lalu, AS melancarkan serangan maut ke atas bot-bot yang didakwa terlibat dengan penyeludupan dadah sehingga timbul spekulasi bahawa Washington mungkin melancarkan beberapa bentuk operasi ketenteraan di Venezuela. – AGENSI














