fbpx
ANAK Erra Fazira, Engku Aleesya kini mengorak langkah sebagai penulis. – M. FIRDAUS M. JOHARI

‘Bukan hendak puji anak, penulisan Aleesya di luar kotak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ATAS kecintaan terhadap buku dan gemar membaca sejak kecil, anak tunggal pelakon Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, Engku Aleesya Engku Emran kini menggapai impian menjadi penulis.

Menerusi naskhah diberikan judul Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra, buku tersebut merupakan langkah awal remaja berusia 16 tahun itu membina nama dalam bidang penulisan buku kanak-kanak.

Akuinya, naskhah terbitan Tertib Publishing tersebut terzahir hasil pengamatannya terhadap bahan bacaan berpaksikan perjuangan dan semangat.

“Sebenarnya impian untuk menulis buku ini timbul sejak saya masih kecil, jadi apabila akhirnya buku pertama ini dapat diterbitkan semestinya saya sangat gembira.

“Banyak perkara yang memberi inspirasi untuk saya dalam bidang penulisan tetapi Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra ini disebabkan kecintaan saya terhadap haiwan terutama kucing.

“Kemudian, bapa saya perkenalkan saya mengenai kisah Fatimah Az Zahra (anak perempuan Rasulullah SAW). Jadi, saya fikir mengapa tidak gabungkan dua cerita dalam satu buku,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra di Shah Alam, baru-baru ini.

Lebih bermakna apabila hari bersejarah itu turut disertai ibu bapanya, Erra Fazira dan Engku Emran selain pengasas Tertib Publishing, Khairul Amar Razali.

MENYEDARI bakat Aleesya, Engku Emran (kanan) dan Erra sentiasa memberikan dorongan sehingga terhasilnya buku sulung puteri tunggal mereka itu.

Pada masa sama, Aleesya yang menamatkan pengajian peringkat International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) berkata, usaha penulisan buku berkenaan dilakukan dengan bantuan dan sokongan penuh orang tuanya.

“Saya ambil masa juga untuk cari idea dan bahan cerita selain bertanya kepada ibu dan bapa mengenai idea untuk menyempurnakan buku ini.

“Saya juga perlu pastikan buku ini tidak susah difahami untuk dibaca golongan kanak-kanak.

“Selepas ini, jika diberi peluang, saya akan teruskan dengan penulisan seterusnya.

“Buat masa ini, saya bermula dalam skala kecil terlebih dahulu kerana saya juga masih belajar, mungkin akan dikembangkan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Dorongan bapa

Sementara itu, bagi Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu, puteri tunggalnya sudah menunjukkan minat menulis sejak kecil dengan beberapa karya menarik pernah dihasilkan.

“Sebagai ibu, saya selalu melihat hasil tulisannya, bukanlah hendak puji anak tapi dia ada bakat kerana kebanyakan penceritaannya sentiasa di luar kotak.

“Ada plot cerita yang saya kadang-kadang tak terfikir pun tapi dia boleh tulis. Saya sokong Aleesya terus tunjukkan bakat dan curahkan idea.

“Bakat ini adalah anugerah Allah, saya selalu pesan kepada anak, mungkin ini boleh jadi pendapatan sampingan satu hari nanti. Apa sahaja dia mahu jadi, saya tetap bagi galakkan,” katanya.

Bagi Engku Emran pula, ketika proses awal penulisan buku, dia menasihati anaknya untuk menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada kanak-kanak lebih muda daripada usianya.

“Saya mahu dia memberi inspirasi kepada budak lain, tapi enggan letakkan harapan terlalu tinggi. Saya membantu dengan memberi dorongan sepanjang proses penulisan.

“Saya beritahu, penulisan buku kanak-kanak ini, ayatnya perlu mudah difahami. Kalau dia minat bidang ini, kami akan terus sokong,” katanya.

Edisi pertama buku Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra diedarkan sebanyak 1,000 naskhah dan boleh didapati secara dalam talian serta kedai buku terpilih.

Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra mengisahkan Nina, seekor anak kucing yang ceria dan suka bermain, namun kadangkala terlupa akan tanggungjawabnya.

Melalui kisah dikongsikan ibunya terutama mengenai wanita mulia, Sayyidatina Fatimah Az Zahra yang pernah dengan berani melindungi Rasulullah SAW, Nina belajar erti keberanian dan kasih sayang sebenar.

Apabila Nina berdepan detik mencemaskan ketika cuba melindungi ibunya, dia menyedari bahawa keberanian lahir daripada kasih sayang dan keimanan.

Buku tersebut turut disifatkan memupuk sifat empati, rasa hormat serta kesedaran moral melalui penceritaan yang menyeronokkan dan mudah difahami. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN