IPOH – Dua pelajar perempuan maut selepas digilis lori dalam kejadian di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Pasaraya Econsave Tasek, di sini hari ini.
Mangsa terdiri daripada penunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz, Nur Aleesya Alya Mohd. Hasrizal dan pembonceng, Nur Alisa Maisara Aidil Azhar masing-masing berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dan dua buah lori diterima pada pukul 12.55 tengah hari.
Katanya, ketika kejadian, ketiga-tiga kenderaan dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari Klebang menghala ke Pekan Ipoh.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang dua remaja itu hilang kawalan menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh di atas jalan.
“Pada masa sama, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang bergerak di lorong sama gagal mengelak lalu menggilis kedua-dua mangsa, manakala motosikal mereka terperosok ke bawah sebuah lagi lori yang berhenti di lorong kanan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE















