IPOH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjelaskan insiden melibatkan seorang guru disiplin dan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Kuala Kangsar berpunca daripada provokasi ketika pemeriksaan disiplin dijalankan.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi semalam berlaku semasa pemeriksaan penampilan diri pelajar di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan.
Menurut beliau, tiga pelajar lelaki tingkatan lima didapati melanggar peraturan sekolah berkaitan warna rambut sebelum diarahkan berkumpul di bahagian tangga dewan.
“Pelajar terbabit tidak mahu mematuhi arahan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap guru itu.
“Keadaan itu menyebabkan guru terbabit hilang sabar sebelum bertindak di luar jangkaan,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, susulan kejadian itu, dua pelajar bertindak meninggalkan kawasan sekolah dalam keadaan emosi sambil menjerit sebelum pihak sekolah menghubungi ibu bapa masing-masing.
“Perbincangan berasingan bersama ibu bapa pelajar telah diadakan pada hari yang sama dan mencapai penyelesaian terbaik.
“Dalam perbincangan itu, ibu bapa bersetuju supaya anak mereka mematuhi peraturan sekolah khususnya tidak lagi mewarnakan rambut.
“Mereka juga berharap guru mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan rasmi daripada JPN Perak bagi menentukan kesahihan kejadian sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. – KOSMO! ONLINE














