KLANG – Lapan termasuk dua beradik yang merupakan ejen pekerja pembersihan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengeksploitasi 43 warga Indonesia, bulan lalu.
Dua beradik tersebut Ng Thir Ngin, 45 dan kakaknya, Ng Ser Wei, 48, selain Ng Chun Hou, 48, Mohd. Syakir Hanin Mohd. Wazer, 39, Lim Wei Jian, 28 dan Lim Xin Jie, 30 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Turut membuat pengakuan sama adalah dua warga Indonesia iaitu Ismaidah, 37, dan Siti Nurjanah Menah,36.
Berdasarkan pecahan pertuduhan, Thir Ngin didakwa mengekploitasi kerja bagi 43 warga Indonesia, Ismaidah (42 orang), Ng Chun Hou (35 orang), Mohd. Syakir Hanin (19 orang), Wei Jian (11), Xin Jie dan Siti Nur Jannah melibatkan 7 orang manakala Ser Wei (1 orang).
Kesemua mangsa berusia 21 hingga 44 tahun
Kesalahan itu dilakukan pada 10 dan 11 Oktober lalu di Bandar Bukit Tinggi 2, Bandar Bestari dan Bandar Botanik di sini.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang boleh dihukum dibawah seksyen yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain turut memohon syarat tambahan dikenakan kepada dua tertuduh warga asing iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Peguam T. Harpal Singh dalam mitigasinya memohon jaminan secara kolektif bagi kesemua tertuduh yang diwakilinya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan RM470,000 dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan kepada dua warga asing itu.
Sebutan semula kes ditetapkan 16 Januari tahun depan.
Media sebelum ini melaporkan seramai 49 wanita warga Indonesia diselamatkan menerusi serbuan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kesemua mangsa terpaksa melalui penderitaan termasuk dikunci, dikurung serta diberi tekanan emosi selepas menjadi mangsa pemerdagangan orang yang diperdaya sindiket dengan dijanjikan tawaran kerja.
Siasatan mendapati sindiket terbabit merekrut mangsa dari keluarga miskin selain dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk membawa masuk mangsa ke negara ini. – KOSMO! ONLINE















