JITRA – Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat apabila merekodkan seramai 3,049 mangsa daripada 1,021 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, dua daerah terjejas dengan Kubang Pasu masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,247 orang daripada 783 keluarga berada di 15 PPS.
“Di daerah Kota Setar pula, seramai 802 orang daripada 238 keluarga ditempatkan di dua PPS,” katanya hari ini. Sementara itu, sembilan sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Perik di Kampung Perik, Wang Tepus (F2) dan Sungai Bata di Kampung Pahana (F2).
Empat lagi Sungai Padang Terap di Pelubang (F2) Sungai Tanjung Pauh di Terusan Utara Mada di Jitra (F2), Kampung Padang Pasir (F2), Sungai Baru di Kampung Sungai Baru (F2) dan Sungai Padang Terap di Kuala Nerang (F2). – KOSMO! ONLINE















