PETALING JAYA – Sempena Hari Bapa, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNK), Datuk Dr. Fuziah Salleh menzahirkan penghargaan kepada suaminya, Profesor Dr. Haji Russly Abdul Rahman yang disifatkan sebagai insan paling setia mendampinginya sepanjang perjalanan hidup dan karier politiknya.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Fuziah berkata, suaminya yang mesra dipanggil ‘Baba’ oleh ahli keluarga sentiasa menjadi sumber kekuatan dan tempat dia kembali mencari ketenangan sejak zaman universiti lagi.
Menurutnya, ketika awal penglibatannya dalam bidang politik, Russly menjadi pendengar setia dan tulang belakang keluarga ketika dia sarat mengandung serta baru melahirkan anak bongsu mereka.
“Lelaki inilah yang menjadi kekuatan saya, pendengar setia ketika saya penat dan tempat saya kembali mencari ketenangan dalam sepak terajang dunia politik,” katanya.
Fuziah turut mengimbau peristiwa pada tahun 1999 apabila suaminya menjadi antara sembilan pensyarah yang dituduh bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan.
Katanya, ketika ramai memilih untuk menjauhkan diri, Russly tetap teguh mempertahankan prinsip dan pendiriannya meskipun berdepan pelbagai tekanan.
Tambahnya, suaminya juga sanggup menamatkan kerjaya akademik lebih awal walaupun masih boleh meneruskan tugas sebagai pensyarah demi memberi sokongan terhadap karier politiknya selain menjaga nama baik universiti.
Beliau turut merakamkan penghargaan serta mendoakan agar semua bapa di luar sana sentiasa tabah menghadapi segala cabaran dan teguh menjadi pembimbing keluarga. – KOSMO! ONLINE














