PUTRAJAYA – Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman bakal mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia esok bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Bangladesh selain meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan bersama.
Lawatan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan lawatan rasmi dua hala ke luar negara yang pertama oleh Tarique sejak beliau memegang jawatan pada Februari lalu.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan, Tarique akan diraikan dalam majlis sambutan rasmi, disusuli mesyuarat dua hala bersama Anwar di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia–Bangladesh serta meneroka kerjasama lanjut, khususnya dalam sektor-sektor utama.
“Ia termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan. Selain itu, saling bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya kenyataan itu.
Tarique akan diiringi isteri, Dr Zubaida Rahman; Menteri Luar, Dr Khalilur Rahman dan pegawai kanan kerajaan sepanjang lawatan berkenaan.
Anwar turut akan meraikan Tarique dalam satu majlis jamuan tengah hari rasmi.
Mereka juga akan menyaksikan pertukaran satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kebudayaan serta dua pertukaran nota diplomatik (EoN) dalam bidang penyelidikan membanteras keganasan serta bidang promosi dan fasilitasi pelaburan.
Pada tahun 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion). Jumlah eksport Malaysia ke Bangladesh berjumlah RM10.08 bilion (USD2.35 bilion) dengan produk petroleum menjadi barangan utama.
Jumlah import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (USD0.50 bilion) dan sebahagian besar disumbangkan oleh tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM12.18 bilion. – KOSMO! ONLINE














