PETALING JAYA – Sektor perikanan darat mencatat pertumbuhan positif dengan pendaratan ikan meningkat 2.3 peratus kepada 9,653 tan metrik bernilai RM191 juta pada 2024, berbanding 9,434 tan metrik tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kejayaan itu hasil daripada pelaksanaan kawalan serta pembendungan pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak di sungai, tasik dan kolam penternakan.
Beliau berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan 31 siri program pemburuan sejak tahun 2022 sehingga berjaya mengeluarkan 8.8 tan metrik ikan asing dengan kerjasama agensi badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
“Sebanyak 101 siri inventori perikanan darat telah diadakan sepanjang Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK Ke-12) bagi memantau biodiversiti dan mengesan spesies asing.
“Usaha ini diperkukuh dengan program kesedaran kepada orang ramai, kolaborasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemburu ikan asing, serta kemudahan saluran aduan termasuk sistem MYFirst yang akan mula beroperasi pada tahun 2026,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai keberkesanan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi mengawal serta membendung pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak yang mengganggu ekosistem ikan air tawar tempatan, termasuk di sungai, tasik dan kolam penternakan.
Sementara itu, Mohamad berkata, bagi menyeimbangkan ekosistem, sebanyak 53 juta ekor ikan asli pelbagai spesies telah dilepaskan ke perairan umum.
“Dari aspek perundangan, jabatan bersama kerajaan negeri sedang mengemas kini Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) untuk memasukkan larangan pelepasan ikan asing yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE















