fbpx
Rusdi ketika bercakap pada sidang media akhbar berhubung perkembangan kes penipuan komersial di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Jenayah penipuan, pelaburan tidak wujud meningkat lebih 7,300 kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jumlah laporan jenayah komersial bagi tiga bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 12.89 peratus kepada 64,643 kes berbanding 57,260 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, peningkatan itu melibatkan pertambahan sebanyak 7,383 laporan polis.

“Walau bagaimanapun, jumlah kerugian menurun daripada RM787 juta pada 2025 kepada RM764 juta tahun ini iaitu penurunan sebanyak RM22 juta bersamaan -2.8 peratus.

“Jumlah kertas siasatan yang dituduh di mahkamah meningkat daripada 4,525 kes tahun lalu kepada 5,140 kes tahun ini, meningkat 13.59 peratus,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, jenayah penipuan online kekal sebagai penyumbang terbesar dengan enam modus operandi utama iaitu telekomunikasi, e-kewangan, ‘love scam’, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

Sejak Januari hingga Mac lalu, sebanyak 16,880 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian RM555.79 juta, berbanding 12,110 kes membabitkan kerugian RM573.66 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jenayah telekomunikasi menjadi penyumbang terbesar bagi kedua-dua tempoh apabila 5,981 kes melibatkan kerugian RM173.03 juta direkodkan tahun ini, berbanding 5,214 kes dengan kerugian RM159.24 juta tahun lalu.

“Ini diikuti jenayah e-dagang yang meningkat kepada 4,858 kes dengan kerugian RM30.44 juta berbanding 2,535 kes dan RM22.64 juta pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JSJK turut merekodkan peningkatan jumlah tangkapan sebanyak 1.5 peratus iaitu daripada 7,084 tangkapan pada tahun lalu kepada 7,190 tangkapan pada tahun ini.

Katanya, secara keseluruhan lebih 87 peratus kes jenayah komersial yang direkodkan adalah melibatkan penipuan dalam talian.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun lalu, sebanyak 12,110 kes penipuan dalam talian direkodkan iaitu 88.53 peratus daripada keseluruhan 13,679 kes jenayah komersial.

“Manakala bagi tempoh sama tahun ini, sebanyak 16,880 kes direkodkan bersamaan 87.74 peratus daripada keseluruhan 19,239 kes,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN