KAMPUNG Sri Ganda di Lahad Datu, Sabah merupakan salah satu lokasi pancingan ikan tembaring yang popular untuk pemancing tempatan dan Semenanjung. Malah, ramai pemancing dari luar negara yang datang memancing di sini.
Kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga tidak sampai seminggu, tapi masing-masing sudah tidak sabar hendak bergasak dengan si raja muara, maklumlah sebulan berpuasa dan tidak memancing.
Trip berlangsung selama lima hari empat malam menggunakan perkhidmatan memancing yang dikendalikan oleh Azlan melalui syarikatnya, Hook Kiss Sdn. Bhd.
Selalunya, trip mengambil masa yang lama kerana waktu diperuntukkan untuk pergi dan balik ke lokasi ini mengambil masa hampir sehari. Jadi, hanya tiga hari penuh dapat memancing.
Kami dijemput oleh Iping selaku tekong trip dan perjalanan mengambil masa antara empat hingga ke lima jam melalui jalan bertar dan off-road untuk sampai ke Kampung Sri Ganda.
Kami menginap di inap desa milik Iping dan jeti terletak hanya di hadapannya.
Makanan juga disediakan olehnya, dan ini termasuk dalam pakej, jadi semuanya memudahkan.
Kami seramai lapan orang menggunakan empat buah bot antara 13 hingga 17 kaki panjang, berpacukan enjin sangkut 15 kuasa kuda yang dikendalikan Iping dan krunya.
Ada beberapa tempat yang diketahui berpotensi, untuk sampai ke lokasi-lokasi ini bergantung kepada keadaan cuaca.

Ini kerana setiap lokasi berlainan keadaan air sungai, sama ada jernih atau keruh akibat hujan kuat di bahagian hulu.
Kami sungguh bernasib baik kerana kesemua lokasi yang kami singgah keadaan air sungai sungguh cantik berikutan cuaca panas dan kering.
Inilah situasi cuaca yang paling ideal untuk memancing ikan tembaring.
Jika hujan lebat melanda, air sungai akan menjadi berkeladak keruh, sekali gus memusnahkan harapan semua pemancing.
Peralatan
Ikan tembaring diketahui amat ganas dan tidak akan memberi peluang langsung kepada pemancing setiap kali ia merembat gewang.
Benda pertama yang akan ditujuinya adalah struktur reba kayu dan batu berhampiran.
Oleh itu, setiap inci benamannya harus dikekang habis-habisan dengan pantas supaya tidak berputih mata.
Segala terminal perlu ampuh untuk menahannya termasuklah joran, kekili, tali utama, perambut, gewang dan mata tiga.
Rata-rata kami memilih peralatan berkualiti buatan Shimano, Daiwa dan Abu Garcia.
Joran kelas PE1-3 dan PE2-4 panjang enam kaki ke bawah supaya senang untuk melempar gewang ke bawah pelepah nipah dan pohon-pohon rendang yang lainnya di tebing sungai.
Semua joran itu tadi diregukan dengan kekili baitcaster saiz 300 ke atas yang dapat memuatkan tali utama jenis braided berkekuatan minimum 80lb.
Oleh kerana tembaring bersemayam di struktur bereba, jadi perambut fluorocarbon antara 80 hingga 100lb terpaksa digunakan untuk mengelak putus apabila bergesel dengan teritip di reba.
Gewang selaman dalam yang dapat menyelam ke takat melebihi 20 kaki seperti Evergreen Gold Digger 600 dan Zerek Tango Shad menjadi pilihan kami.
Perlu juga dipastikan badan gewang diperbuat daripada bahan yang kuat bagi mengelak ia pecah dikekah gigi tembaring yang terkenal tajam, kuat dan berceranggah.

Oleh kerana setiap benaman tembaring perlu ditahan sepenuh hati, maka mata tiga berkekuatan 5X perlu dipasang di gewang bagi mengelak ia terkangkang.
‘Gangster’ kena pencil
Mengilat dan menunda gewang selaman dalam merupakan lumrah aktiviti memancing tembaring di Sri Ganda kerana dasar sungai yang dalam.
Ia memerlukan satu gewang yang dapat menyelam hingga menyodok dasar berkedalaman antara lima hingga 20 meter (m).
Namun ketika trip ini, kami berkesempatan mengilat menggunakan gewang topwater kerana ia jarang sekali dicuba keberkesanannya oleh pemancing yang berkunjung ke sini.
Kami merasakan ledakan daripada ikan tembaring yang brutal terhadap gewang topwater akan membuatkan paras adrenalin memuncak dan cabaran bertarung dengannya pasti menyeronokkan.
Tidak semua lokasi dapat kami main gewang topwater, tekong hanya membawa kami ke lokasi yang diketahui mempunyai reba-reba yang dihuni tembaring supaya dapat meningkatkan peluang.
Pelbagai jenis gewang topwater telah kami cuba dan didapati jenis pencil paling menjadi.
Mungkin aksinya yang melayap di atas permukaan air itu lebih menggoda, seolah-olah seperti seekor ular kecil sedang berenang di atas air.
Kami juga merasakan ular-ular kecil merupakan sebahagian daripada diet ikan tembaring di sini sama seperti apa yang ‘sepupunya’ makan di Papua New Guinea.
Ini berdasarkan artikel-artikel yang pernah saya baca dan lihat gambarnya daripada majalah-majalah memancing Australia di awal era 2000 dahulu.
Empat ekor tembaring kami kena dengan gewang pencil saiz antara 110-130mm yang semuanya warna putih.
Banyak juga yang miss call dan ada langsung tidak dapat didaratkan.
Pastinya semua tembaring yang menyambar pencil saiznya kasar belaka.
Jadi selepas ini, pasti satu kotak gewang pencil akan menjadi sebahagian daripada ‘peluru’ yang wajib dibawa ke sini.
















