IKAN ini bukan sahaja mempunyai nilai yang tinggi, malah terkenal dengan kekuatan, kelajuan dan ketahanan luar biasa ketika bertarung dengan pemancing.
Tuna merupakan ikan pemangsa di laut dalam. Dengan bentuk badan aerodinamik dan otot yang padat, ikan ini mampu berenang laju menongkah arus ketika memburu mangsanya.
Ia biasanya bergerak dalam satu kumpulan yang besar, memburu ikan-ikan kecil seperti selar, tamban, kembung, cencaru dan bilis.
Pergerakan ikan ini sering menjadi penanda aras kawasan pancingan dengan potensi hasil tangkapan yang tinggi.
Yellowfin tuna
Ada beberapa spesies tuna yang menjadi sasaran pemancing di perairan tanah air kita. Paling terkenal ialah yellowfin tuna.
Spesies ini dapat dikenal pasti melalui siripnya yang panjang berwarna kuning terang.
Ia boleh membesar sehingga puluhan kilogram, menjadikannya satu tangkapan idaman bagi pemancing laut dalam.
Ketika ia menyambar umpan, joran akan melentur dan kekili ‘menjerit’, memberi suatu pengalaman istimewa yang mendebarkan bagi sesiapa sahaja yang mencuba nasib.
Bigeye tuna
Satu lagi spesies tuna laut dalam yang terkenal dengan kekuatan dan saiznya yang besar ialah bigeye tuna. Ia mendapat nama kerana saiz matanya yang besar berbanding spesies tuna lain.
Matanya berfungsi membantu ia melihat dengan baik di kawasan laut yang dalam dan gelap. Spesies tuna ini terdapat di perairan Sabah dan Sarawak.
Apabila kena mata kail, ikan ini akan membenam kuat ke dasar laut, sekali gus menjadikan pertarungan dengannya satu pengalaman yang sangat mencabar bagi pemancing.
Dari sudut komersial, isi dagingnya juga bernilai kerana tekstur yang lembut dan sesuai dijadikan hidangan seperti sashimi dan sushi.
Skipjack tuna
Spesies tuna yang paling polular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai lauk untuk nasi dagang iaitu ikan aya atau tongkol.
Spesies tuna ini juga bergerak secara berkumpulan dan banyak ditemui di perairan tropika.
Walaupun saiznya lebih kecil, namun ia tetap bernilai kerana jumlah tangkapannya yang tinggi dan pilihan utama industri perikanan tempatan.
Ikan aya juga menjadi antara ikan pertama yang sering menjadi ‘lesen’ bagi pemancing yang baru menceburi pancingan laut dalam.
Longtail tuna
Ikan ini mendapat namanya kerana ekornya yang panjang. Dahulu, ia banyak terdapat di perairan Pulau Pemanggil dan Aur terutamanya di kawasan unjam, namun akibat
lampau tuai ia sukar dijumpai sekarang.
Sekali-sekali ia dapat dinaikkan di perairan sekitar dan merupakan bonus kepada pemancing kerana ia terkenal dengan pecutan yang padu terutamannya apabila menggunakan set pancing ringan.
Dogtooth tuna
Bagi pemancing tegar pula, cabaran sebenar sering datang daripada dogtooth tuna.
Ikan ini masyhur dengan kesudiannya terhadap jig dan tenaga luar biasanya yang sering membuat pergerakan mengejut ke dasar laut.
Pertempuran dengan tuna ini, bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, malah teknik dan kesabaran pemancing.
Jadi, tidak hairanlah detik menaikkan ikan ini sering menjadi pengalaman yang terpahat dalam memori pemancing, khususnya bagi mereka yang pernah merasai sendiri debaran tersebut.

Taburan tuna
Kawasan utama ikan tuna di Malaysia termasuklah di Laut China Selatan, perairan sekitar Sabah dan Sarawak, serta kawasan laut dalam di Pantai Barat Semenanjung.
Lautan yang kaya dengan sumber makanan semula jadi menjadi habitat sempurna bagi ikan tuna membesar dan berkembang biak.
Selain itu, pemilihan lokasi memancing amat penting kerana kumpulan ikan tuna sentiasa berpindah randah mengikut musim ikan kecil yang menjadi dietnya.
Tuna bukan sahaja bernilai dari segi ekonomi, tetapi memainkan peranan penting dalam ekosistem laut. Sebagai pemangsa utama, ia membantu mengawal populasi ikan kecil dan mengekalkan keseimbangan ekologi.
Oleh itu, pengurusan sumber laut yang baik amat diperlukan bagi memastikan populasi tuna tidak kira apa spesies sekali pun terus terpelihara, biarpun permintaan pasaran sentiasa tinggi.
Bagi nelayan tempatan, tangkapan tuna mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana isinya menjadi pilihan utama pelbagai jenis masakan.
Tuna bersaiz besar pula boleh mencecah harga ribuan ringgit di pasaran, bergantung kepada saiz dan kualiti teksturnya.
Kepelbagaian spesies ikan tuna di perairan Malaysia menunjukkan betapa kayanya sumber laut kita.
Setiap satu spesies tuna mempunyai karakter dan profil tersendiri yang menarik bagi nelayan dan pemancing.
Keunikan ini menjadikan perairan Malaysia lokasi penting untuk industri perikanan serta rekreasi memancing bertaraf global.
Kesimpulannya, koleksi tuna di Malaysia bukan sahaja melambangkan kekayaan laut negara, tetapi menjadi sumber ekonomi serta pengalaman memancing yang luar biasa.
Dengan pengurusan sumber laut yang bijak dan lestari, generasi akan datang masih dapat menikmati khazanah laut ini.
Tuna bukan sekadar ikan, tetapi pejuang lautan yang memberi cabaran, kegembiraan dan manfaat kepada mereka yang menghargai keindahan alam laut Malaysia.














