KETIKA ini, isu kesihatan mental menjadi topik membimbangkan di Malaysia.
Masalah mental tidak mengenal usia, malah ia boleh berlaku tanpa kita sedar.Terkadang, masyarakat tidak memahami individu yang bergelut dengan masalah mental dan sering menganggap mereka lemah kerana tidak dapat menangani tekanan.
Ini membuatkan golongan itu tidak tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan sehingga boleh mencetuskan kemudaratan.
Ahli psikologi klinikal dan pensyarah kanan di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr. Serena In berkata, stigma terhadap isu kesihatan mental masih kuat berakar umbi dalam masyarakat Malaysia, namun hakikatnya kita tidak boleh menafikan atau melarikan diri daripada realiti tersebut.
“Statistik menunjukkan trend membimbangkan dan data 2015 menganggarkan kadar gangguan mental di Malaysia mencecah 29 peratus.
“Ia peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding 1996. Data tahun 2023 pula mendedahkan kira-kira satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, lebih dua kali ganda berbanding 2019,” katanya.
Hakikatnya, tahap kesihatan mental rakyat Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan.
Kesihatan mental juga merupakan aspek penting dalam kesejahteraan individu dan masyarakat secara menyeluruh.
Bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr. Syarifah Maisarah Syed Alwi, walaupun tahap kesedaran tentang kepentingannya semakin meningkat, stigma terhadap kesihatan mental masih menjadi penghalang utama kepada usaha pemulihan dan penerimaan sosial di Malaysia.
Stigma boleh ditakrifkan sebagai tanggapan negatif, stereotaip, dan diskriminasi terhadap individu yang mengalami gangguan mental.
“Di Malaysia, stigma ini berpunca daripada pelbagai faktor yang menyebabkan isu kesihatan mental dilihat sebagai kelemahan peribadi. Ia bukan sahaja menjejaskan individu terlibat, tetapi membantutkan kemajuan sistem kesihatan awam secara keseluruhannya,” katanya.
Menurut beliau, yang membimbangkan adalah faktor utama yang menyumbang kepada kewujudan dan stigma terhadap kesihatan mental di Malaysia iaitu kurangnya pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang masalah tersebut.
Masih ramai masyarakat kita yang menganggap penyakit mental sebagai mitos disebabkan oleh kelemahan iman, sumpahan, atau gangguan makhluk halus.
Sebagai contoh, ada yang berpendapat kemurungan boleh diatasi dengan ‘kuatkan semangat’ tanpa rawatan psikologi atau ubat.
Persepsi itu menjadikan individu yang mengalami gangguan mental enggan mendapatkan rawatan profesional dan cenderung mencari bantuan daripada pengamal perubatan tradisional termasuk bomoh.
Tambahnya, untuk menangani stigma kesihatan mental, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan.
“Pendidikan kesihatan mental harus diperluas di semua peringkat bagi meningkatkan pemahaman bahawa gangguan mental adalah penyakit yang boleh dirawat, bukan kelemahan moral,” katanya.














