Hujung tahun adalah bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh ibu bapa kerana cuti sekolah yang panjang.
Di sebalik pelbagai tawaran pakej percutian, tempoh ini turut digunakan mereka untuk menghabiskan cuti tahunan. Namun, tidak semua perancangan itu berjaya. Malah, ini juga masa mereka menghabiskan cuti tahunan masing-masing, namun tidak semua perancangan berakhir dengan kemanisan.
Sabtu lalu, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terkandas di Hatyai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand susulan banjir besar.
Hujan lebat sejak Jumaat menyaksikan banyak kawasan dinaiki naik air sehingga paras pinggang, kenderaan tenggelam dan bekalan elektrik dimatikan.
Keadaan itu juga menyebabkan ramai mangsa terpaksa menggunakan media sosial untuk meminta bantuan ekoran kehabisan makanan selain laluan keluar dinaiki air.
Lebih memeritkan, ada antara mereka yang terpaksa mencatu makanan, kanak-kanak hanya makan biskut untuk mengalas perut. Anak kecil pula kehabisan susu dan lampin pakai buang sementara kedai tutup.
Percutian hujung tahun yang seharusnya menjadi kenangan indah bertukar pengalaman menakutkan apabila terpaksa bergelap sepanjang hari dan berjalan sejauh enam kilometer untuk mencari makanan.
Antara mereka ada yang nekad meredah banjir, namun ada juga sebahagiannya terkandas semula dan kelaparan di negara Gajah Putih itu.
Selepas mengeluarkan belanja bercuti, kini mereka terpaksa memikirkan kos membawa pulang kenderaan yang rosak akibat banjir.
Jika mereka tidak mengambil insurans bencana alam, maka kos yang diperlukan untuk membawa pulang kenderaan dari Thailand ke sempadan seterusnya ke bengkel boleh mencecah ribuan ringgit.
Jumlah ini tidak termasuk kos untuk membaiki kenderaan. Bercuti pada musim Monsun Timur Laut itulah cabaran dan kesan yang perlu dihadapi serta ditanggung semua. Kos berganda.
Nasib dialami rakyat Malaysia ini sewajarnya menjadi pengajaran buat semua termasuk yang merancang untuk bercuti di kawasan tumpuan pelancong di Selatan Thailand mahupun di Semenanjung Malaysia.
Terperangkap banjir di negara sendiri juga sukar inikan pula di negara orang. Kesengsaraan tanpa keluarga berbeza, segala segi bertambah perit untuk meminta bantuan.
Tinjauan di media sosial masih ada rakyat kita yang bertanya sama ada boleh meneruskan perjalanan ke Hatyai pada minggu ini dan seterusnya. Tepuk dada tanya selera, sama ada wajar batal atau rancang semula percutian anda. Jangan sampai pisang berbuah dua kali.
Bencana alam ini sewajarnya memberi pengajaran kepada semua untuk sentiasa memantau ramalan cuaca dalam merancang sebarang aktiviti.
Lihat ramalan cuaca beberapa hari sebelum bercuti bagi mengelakkan anda terperangkap dan menjadi mangsa banjir.
Ketika ini, lapan negeri dilanda banjir dengan lebih 10,000 mangsa dipindahkan. Kelantan dan Perak antara negeri tertinggi. Orang Lembah Klang tangguh dahulu pulang ke kampung cuti sekolah, risau jadi mangsa.
Kepada yang terlibat, jangan ambil risiko dan hargai nyawa anda. Pindahlah sekiranya diarahkan berbuat demikian.















