JAKARTA – Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) jatuh terjunam ke darat selepas payung terjun yang digunakan dalam sesi latihan gagal terbuka, lapor laman berita iNews.
Kejadian berlaku Khamis lalu ketika latihan di Lapangan Terbang PT IMIP Morowali, wilayah Sulawesi Tengah.
Dalam satu video tular yang dimuat naik di platform TikTok, kumpulan tentera tersebut dilihat melakukan terjunan udara menggunakan payung terjun.
Payung terjun salah seorang daripada mereka bagaimanapun dilihat tidak terbuka, menyebabkan sejumlah penduduk yang menyaksikannya dari darat menjerit ketakutan.
Anggota tersebut kemudian terjunam ke tanah sebelum kakitangan kecemasan dengan segera bergegas memberikan bantuan.
Menurut laporan, anggota TNI tersebut cedera dan kini berada dalam pemantauan rapi.
Sementara itu, TNI dalam satu kenyataan berkata, ia mengambil langkah untuk menjalankan siasatan intensif bagi menentukan kronologi sebenar kejadian tersebut, termasuk menilai keadaan peralatan dan prosedur latihan. – AGENSI















