fbpx
Lapang sasar Gurun Kem Hobart. GAMBAR HIASAN

Lagi kes di Kem Hobart, 2 anggota tentera cedera ketika latihan menembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GURUN – Dua anggota tentera cedera selepas senjata api yang digunakan meletup disyaki akibat masalah teknikal ketika menjalani latihan menembak di Kem Hobart, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 petang itu, seorang anggota berpangkat sarjan berusia 35 tahun yang juga jurulatih mengalami kecederaan di pangkal lutut kanan dan menerima lapan jahitan.

Seorang lagi anggota berpangkat koperal berusia 29 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani kerana dipercayai mengalami kecederaan saraf pada pangkal lutut kiri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, beliau bersama pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pakar senjata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melawat lokasi kejadian pagi tadi bagi menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika latihan menembak yang bermula pada 28 Jun lalu dan dijadualkan berakhir Khamis ini. Ia disertai kira-kira 300 anggota dari Kem Bukit Cowder, Perlis serta melibatkan beberapa fasa termasuk penggunaan senjata ringan dan senjata berat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, insiden berlaku ketika latihan memasuki fasa penggunaan senjata berat apabila senjata berkenaan didakwa mengalami stoppage atau berhenti berfungsi secara tiba-tiba.

“Prosedur keselamatan kemudian diambil dengan mengosongkan senjata sebelum dibaringkan untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan, tiba-tiba berlaku letupan.

“Pemeriksaan doktor juga mengesahkan bahawa kecederaan dialami kedua-dua mangsa bukan akibat terkena tembakan peluru, sebaliknya dipercayai akibat serpihan objek asing yang melenting ketika letupan berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, pemerhatian awal di lokasi mendapati kawasan latihan dipenuhi batu dan kecederaan dialami mangsa adalah konsisten dengan serpihan objek asing, bukannya peluru.

Jelasnya, pemeriksaan ke atas senjata turut mendapati satu komponen regulator pada sistem gas telah tercabut, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Siasatan awal menjurus kepada masalah teknikal, namun kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api bagi menentukan punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis mengenal pasti sekurang-kurangnya lima hingga enam saksi berada berhampiran lokasi termasuk seorang pegawai berpangkat mejar yang bertugas sebagai pemerhati di menara pemantau.

Katanya, anggota berpangkat sarjan yang berpengalaman sembilan tahun sebagai jurulatih dan 16 tahun dalam ATM telah dibenarkan keluar dari Hospital Sik selepas menerima rawatan, manakala anggota koperal masih dipantau di HSAH.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, kes kematian dua anggota tentera akibat letupan grenad di kem sama pada 16 Jun lalu diserahkan kepada pihak tentera dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan dua anggota tentera iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) maut akibat letupan grenad di Kem Hobart, di sini pada 16 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN