fbpx
Keadaan air yang melimpah di pekarangan luar rumah Muhammad Haris, pagi tadi.

Banjir P. Pinang: ‘Keliling rumah sudah naik air’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Penduduk di Kampung Lahar Yooi, Tasek Gelugor, di sini mulai bimbang apabila pekarangan rumah mereka mula dinaiki air pagi ini.

Keadaan itu menyebabkan penduduk lebih berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan ekoran paras air di Sungai Kreh meningkat sejak pukul 5 semalam.

Seorang penduduk, Muhammad Haris Ramli, 26, berkata, air melimpah keluar di sekeliling rumahnya sejak semalam dan situasi tersebut tidak berubah hingga pagi ini.

“Saya sudah mengalihkan perabot dan perkakasan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan kini dalam mood berjaga-jaga, bimbang air masuk ke dalam rumah sekiranya hujan lebat berterusan.

“Pagi ini, saya terpaksa redah air bah untuk ke tempat kerja, saya harap banjir kali kedua ini tidak seteruk seperti bulan lepas yang mengambil masa tiga hari untuk surut sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Muhammad Haris berkata, sebahagian kediaman penduduk di kampung itu sudah dimasuki air sehingga paras buku lali.

Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Kampung Lahar Yooi merupakan antara lokasi yang diramal banjir bermula 12 tengah malam kelmarin hingga 12 tengah hari, Rabu ini.

Kawasan itu merupakan Lembangan Sungai Perai yang terletak di kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer.

“Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang jangkaan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan banjir agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI