KOTA BHARU – Seorang gadis berusia 19 tahun yang maut dengan sebanyak 61 tikaman sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini kelmarin dipercayai mengenali salah seorang suspek yang direman sejak hampir setahun lalu.
Salah seorang rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Sikin, 19, berkata, dia hanya tahu Nurfisya Zulkifly, 19, kenal suspek itu, namun tidak pasti sama ada mereka pernah keluar bersama atau sebaliknya.
Menurutnya, dia bagaimanapun tidak mengenali seorang lagi remaja yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Saya kenal Isya (Nurfisya) sewaktu sesi orientasi ketika kami mula-mula mendaftar ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini.
“Saya tidak melihat sebarang perubahan terhadap Isya sebelum kejadian itu. Kami sempat bersarapan bersama-sama sebelum ini dan dia kelihatan sangat ceria sambil berborak mengenai banyak perkara sebelum masing-masing pulang ke rumah sewa,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan KPTM, Lembah Sireh di sini hari ini.
Sikin memberitahu, Nurfisya disifatkan sebagai seorang yang baik hati dan tidak menyangka rakannya itu diperlakukan dengan kejam. – KOSMO! ONLINE














