fbpx
Gambar hiasan

Industri maritim masa depan graduan TVET negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pemasyuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di Bagan Datuk, Perak baru-baru ini, cukup bermakna terutama bagi industri maritim.

Majlis yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut mempunyai peranan penting dalam memastikan industri maritim terus dipelopori oleh anak-anak tempatan.

Ini kerana, industri itu merupakan antara sektor yang cukup penting bagi pembangunan negara dan dalam konteks pendidikan tinggi, ia menjadi ‘jambatan’ pihak industri dan golongan muda yang bakal menjejakkan kaki dalam alam pekerjaan.

Menerusi program yang ditawarkan di politeknik berkenaan, pelajar akan dilengkapi dengan ilmu berkaitan yang pastinya menjadi aset bagi majikan yang terlibat dalam industri maritim.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berucap pada majlis pemasyhuran politeknik ke-35 negara berkenaan berkata, sektor maritim negara sedang memasuki fasa kebangkitan baharu.

Katanya, industri tersebut merangkumi kejuruteraan kapal, teknologi marin, automasi perkapalan, logistik pelabuhan, penyelenggaraan, serta kemampanan laut.

Menurut beliau, semua itu menuntut kepakaran teknikal tinggi dan inovasi berterusan.

“Menurut laporan antarabangsa, sektor maritim global dijangka berkembang 4.7 peratus setahun, sementara lebih 80 peratus perdagangan dunia belayar melalui lautan.

“Malaysia yang dianugerahi 4,500 kilometer garis pantai dan pintu gerbang Selat Melaka berada pada kedudukan strategik utama dalam laluan perdagangan dunia,” katanya.

Zambry berkata, dalam lima tahun mendatang, diunjurkan lebih 40,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang maritim dan logistik akan terhasil, sekali gus membuka ruang luas untuk graduan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) Malaysia menyertai pasaran global.

Mengulas perkara sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam sektor maritim, TVET membuka peluang kepada anak-anak muda untuk menguasai kemahiran berkaitan.

Beliau berkata, ia merangkumi kejuruteraan mekanikal marin, elektrikal marin dan automasi kapal, menjalankan penyelidikan tenaga laut boleh diperbaharui dan meningkatkan keselamatan serta kecekapan operasi sektor maritim negara.

“Tentunya usaha ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang TVET maritim, sejajar dengan agenda Ekonomi Madani dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang meletakkan sektor maritim sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Malah, graduan TVET dalam bidang maritim akan menjadi tonggak penting dalam membentuk masa depan industri pelabuhan, perkapalan, logistik dan tenaga laut,” katanya.

Dengan hala tuju jelas yang digariskan oleh kerajaan berhubung industri maritim, adalah tidak salah untuk menganggap bahawa bidang berkenaan menawarkan prospek cerah bagi anak tempatan yang melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut.

Bahkan, keupayaan negara untuk melahirkan modal insan mahir menerusi IPT seperti PMSN juga membuktikan kualiti pendidikan ditawarkan berada pada tahap yang tinggi dan boleh dibanggakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN