BANGKOK – Wilayah Songkhla mengisytiharkan zon kecemasan di tujuh daerah selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar, menjejaskan hampir 18,000 isi rumah, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.
Hujan lebat berterusan dan monsun timur laut menenggelamkan kawasan luas di wilayah selatan Thailand itu sejak 19 November lalu.
Daerah terjejas ialah Rattaphum, Muang Songkhla, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin, Sathing Phra dan Hatyai.
Pihak berkuasa berkata, banjir menjejaskan 159 kampung di 28 daerah melibatkan 17,886 isi rumah atau 44,958 penduduk.
Sebuah rumah musnah sepenuhnya dan tiga lagi rosak teruk.
Sebuah hospital dan enam jalan raya turut ditenggelami air.
Bencana itu menyebabkan banjir kilat dan angin kencang sejak kelmarin.
Gabenor Songkhla, Ratthasart Chidchoo mengarahkan semua 16 ketua daerah untuk bekerjasama dengan pejabat lebuh raya tempatan bagi memasang papan amaran dan kon lalu lintas.
Katanya, ketua-ketua daerah digesa memohon pam air tambahan daripada organisasi pentadbiran tempatan, pejabat pencegahan dan mitigasi bencana serta agensi pengairan untuk mengeringkan air selain membuka semula jalan raya secepat mungkin.
Sementara itu, banjir di Pattani menyebabkan Hospital Sai Bur melakukan persiapan untuk memindahkan pesakit-pesakit dialisis.
Mereka yang dijadualkan untuk mendapatkan rawatan di hospital awam di daerah Sai Buri pula dinasihatkan untuk pergi ke Hospital Pattani. – AGENSI














