ROM – Pemain bola sepak digelar paling seksi di dunia, Alisha Lehmann menjadi mangsa kecurian, dengan dia berkongsikan video yang memaparkan biliknya berselerak teruk, lapor laman berita Daily Star semalam.
Klip video yang dimuat naik Isnin lalu itu memaparkan almari Lehmann terbuka luas dengan pakaiannya bertaburan di atas katil dan lantai dalam beberapa longgokan kecil.
Lehmann berjalan di sekitar bilik sambil merakam kerosakan itu yang turut menunjukkan salah satu laci tepi katilnya ditolak ke tepi.
Di atas katil terdapat kotak-kotak yang telah dibuka dan pakaian kot yang dicampakkan, dipercayai daripada almari pakaian.
Pemain berusia 26 tahun itu yang bermain untuk kelab Como menulis kapsyen: “Lain kali kalau rompak rumah saya, boleh tak tolong kemaskan sekali. Saya menghidap OCD (kebimbangan berulang).”
Lehmann tidak berada di rumah ketika apartmennya di Como, Itali itu diceroboh. – AGENSI















