WASHINGTON – Seorang lelaki berusia 67 tahun di New York yang menembak mati seorang perompak ketika cubaan samun, dijatuhi hukuman penjara empat tahun, lapor portal berita MailOnline semalam.
Charles Foehner dari Queens, New York, hadir dengan wajah tanpa ekspresi ketika tiba di Mahkamah Jenayah Daerah Queens pada pagi semalam untuk menerima hukuman.
Ketika kejadian, Foehner, seorang penjaga pintu yang sudah bersara, sedang berjalan ke sebuah garaj parkir berhampiran apartmennya di Queens.
Lelaki yang didakwa sebagai perompak itu menyerangnya dengan objek tajam sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) pada 31 Mei 2023.
Suspek dikenali sebagai Cody Gonzalez yang berusia 32 tahun, meminta wang ketika kejadian lewat malam itu, menyebabkan Foehner mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak mati penyerangnya itu.
Seluruh konfrontasi itu dirakam sebuah kamera pengawasan di laluan masuk kereta luar bangunan apartmen Foehner di Kew Gardens. – AGENSI















