JOHOR BAHRU – Hasrat seorang ibu untuk melihat anaknya kembali pulih tidak kesampaian apabila bayi itu meninggal dunia semalam sebelum sempat menjalani pembedahan di China untuk merawat penyakit hati kronik atau biliary atresia yang dihidapinya.
Lebih menyedihkan, Asfa Qawiy Muhammad Syafiq, 12 bulan, dijadualkan terbang ke China untuk menjalani prosedur pemindahan hati (liver transplant) pada Ahad ini ketika wang untuk menampung kos pembedahan sebanyak RM200,000 telah cukup dikutip hasil sumbangan orang ramai.
Ibunya, Nor Fatin Ismail, 33, berkata, bayinya disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 5 pagi semalam.
Katanya, Asfa Qawiy dijadualkan menjalani rawatan pemindahan hati di Hospital Renji Shanghai.
“Namun hasrat untuk melihatnya membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain tidak kesampaian. Dia terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi pada pukul 5 pagi tadi (semalam).
“Kami reda dengan ketentuan ini, sakit Asfa Qawiy Allah sudah diangkat. Kami yakin dia menunggu kami di pintu syurga,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Nor Fatin, jenazah anak bongsu daripada lima beradik itu akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Besar, Batu Pahat.
Pada 25 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan mengenai kisah penderitaan Asfa Qawiy yang disahkan menghidap biliary atresia sejak berusia dua bulan.
Nor Fatin berkata, pada mulanya mereka menyangka anak kembar bongsunya itu hanya menghidap penyakit kuning biasa.
“Melihat kepada kulit, mata dan najis Asfa Qawiy yang berubah warna serta perutnya semakin membesar, kami tahu ada sesuatu yang tidak kena.
“Selepas beberapa siri pemeriksaan, doktor sahkan saluran hempedu Asfa tersumbat sepenuhnya,” katanya.
Menurut Nor Fatin, bagi menyelamatkan nyawa anaknya itu, doktor memaklumkan Asfa Qawiy perlu melalui pembedahan pemindahan hati yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM200,000.
“Tetapi kini segalanya sudah ditakdirkan. Anak saya meninggal dunia sebelum sempat diterbangka ke China untuk pembedahan itu.
“Kami bercadang untuk menyalurkan kembali wang hasil kutipan orang ramai untuk anak kami ke akaun Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia bagi digunakan untuk membantu kanak-kanak yang senasib dengan Asfa Qawiy,” katanya sambil menahan sedih.














