fbpx
PENGURUSAN TV AlHijrah yakin ramai penduduk setempat serta masyarakat di daerah lain di Johor dan Melaka bakal memeriahkan pelbagai acara termasuk konsert dan forum yang mengisi Karnival Hijrah 2025 di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor bermula hari ini. – SYAKIR RADIN

Penyanyi, selebriti TV AlHijrah hiburkan orang Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDEKATI masyarakat dengan pelbagai aktiviti, TV AlHijrah bakal mengadakan Karnival Hijrah 2025 di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi selama tiga hari bermula hari ini.

Mengangkat tema Menjalin Ukhuwah, Menyebar Ihsan, karnival yang dijangka menarik 10,000 pengunjung itu menjadi platform komuniti yang menggabungkan ilmu, kebajikan, ekonomi dan kekeluargaan dalam suasana santai namun sarat pengisian. Felda Air Tawar 2 dipilih kerana keistimewaan masyarakat setempat yang terkenal dengan budaya gotong-royong selain nilai kekitaan ditambah lokasi strategik di tengah laluan Kota Tinggi dan Desaru.

Pengurus Besar Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, Karnival Hijrah 2025 merupakan jenama yang sudah lama wujud, namun kembali diperhebatkan tahun ini.

“Karnival Hijrah yang turut diadakan dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), 13 agensi HEA dan FELDA merupakan inisiatif TV AlHijrah untuk turun ke lapangan dan membawa jenama Hijrah kepada masyarakat.

“Sebenarnya karnival ini sudah dimulakan sejak 2011, cuma beberapa tahun kebelakangan ini direhatkan seketika berikutan ada pelbagai aktiviti lain dan kini bakal digerakkan semula.

“Skalanya lebih kecil kerana penganjur memilih kawasan sub-rural tetapi lebih dekat dengan khalayak iaitu di Air Tawar 2 yang sangat strategik serta penduduk sekitar dianggarkan lebih 20,000 orang termasuk masyarakat Felda tetapi tidak termasuk dari negeri jiran iaitu Melaka.

Saifulizan berkata demikian ketika ditemui di majis pengumuman Karnival Hijrah 2025 yang turut disertai Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar.

Sementara itu, Zulkarnaen memaklumkan sepanjang karnival berlangsung, pelbagai program dirangka termasuk kenduri rakyat, gotong-royong, sukaneka, pertandingan komuniti, jualan rahmah serta hijrah prihatin untuk menyantuni golongan memerlukan.

Antara pengisian dijangka mendapat perhatian ramai adalah wayang pacak hijrah iaitu tayangan filem Islamik pilihan pada waktu malam yang mengembalikan nostalgia desa sambil menyampaikan dakwah secara santai.

Katanya, dua lagi acara penting TV AlHijrah iaitu Hijrah Berselawat dan Dakwah Live akan dirakam sepanjang karnival berlangsung.

“Kami mahu masyarakat melihat operasi sebuah stesen televisyen. Program yang biasanya dibuat di studio akan kami bawa ke lapangan. Ini kali pertama panel dan hos turun bersama kru produksi rakam di kawasan kampung.

“Jika hujan, beberapa aktiviti akan dialihkan ke bangunan tertutup. Sukan rakyat juga ada pelan alternatif. Kami sudah bersedia dengan situasi cuaca, namun tetap berharap keadaan mengizinkan,” ujarnya.

Konsert, dialog kemuncak acara

Karnival Hijrah 2025 turut diserikan kemunculan personaliti TV AlHijrah serta beberapa artis jemputan seperti kumpulan nasyid terkenal Inteam dan Mawi.

Mengenai sasaran pengunjung, akui Zulkarnaen kawasan karnival dikelilingi komuniti Felda besar seperti Air Tawar 1 hingga 6 Felda Sungai Papan yang pasti menarik ramai kehadiran.

Majlis penutup rasmi akan berlangsung pada 23 Disember dan bakal disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Pada masa sama, TV AlHijrah juga yakin Karnival Hijrah 2025 akan menjadi contoh terbaik dakwah boleh dihidupkan melalui pendekatan mesra rakyat, inklusif dan berimpak sosial.

Menerusi penganjuran di selatan tanah air ini, pengurusan tertinggi stesen terbabit berharap gelombang dakwah Karnival Hijrah 2025 dapat diperluaskan ke daerah lain pada tahun akan datang.

 

PENGURUSAN TV AlHijrah yakin ramai penduduk setempat serta masyarakat di daerah lain di Johor dan Melaka bakal memeriahkan karnival termasuk konsert dan forum. – SYAKIR RADIN

KUMPULAN Inteam bakal memeriahkan Karnival Hijrah 2025 yang berlangsung di Felda Air Tawar 2 bermula 21 hingga 23 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI