SINGAPURA – Sebilangan pengguna media sosial meminta cuti umum susulan kemenangan bersejarah 2-1 pasukan bola sepak Singapura yang menewaskan Hong Kong semalam, lapor laman berita Stomp hari ini.
Kemenangan itu memastikan tiket untuk mereka bertanding dalam kejohanan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Namun, ia telah mencetuskan permintaan untuk cuti umum daripada netizen Singapura.
“Selepas bertahun-tahun dikecewakan, The Lions (Singapura) layak ke Piala Asia buat kali pertama berdasarkan prestasi,” tulis Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam hantarannya di Facebook.
Sebagai tindak balas, sebilangan pengguna media sosial berseloroh dan meminta cuti umum.
“Cuti umum tuan?” tanya seorang netizen.
“Cutilah. Lagipun tahun ini SG60 (ulang tahun kemerdekaan Singapura),” tulis pengguna media sosial lain.
Singapura tidak pernah layak ke Piala Asia berdasarkan merit dengan satu-satunya penampilan mereka sebelum ini adalah sebagai tuan rumah pada tahun 1984. – AGENSI















