JOHOR BAHRU – Berpegang pada semangat sehidup semati sebagai adik-beradik, dua graduan mencuri tumpuan pada Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila mereka berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada hari yang sama, hari ini.
Dr. Nor Athirah Zaharudin, 37, menerima PhD dalam Kejuruteraan Bioproses manakala adiknya, Dr. Nur Zafirah, 34, menamatkan pengajian dalam Pengurusan Fasiliti sekali gus menjadi hadiah paling bermakna buat keluarga.
Menurut Nor Athirah, apa yang menjadikan perjalanan mereka istimewa ialah hubungan akrab sebagai adik-beradik menjadi kekuatan utama untuk saling menyokong terutama ketika melalui tempoh paling mencabar.
“Kalau saya stres (tertekan) adik yang kuatkan saya. Kalau dia penat, saya pula yang tolong dia.
“Kami memang sepanjang pengajian saling bergantung dan bantu-membantu,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-69 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Zafirah pula mengakui kakaknya adalah ‘role model’ sejak dari sekolah malah menjadi orang pertama dalam keluarga yang membuka jalan hingga membuatkan adik-beradik lain mengikut langkah yang sama ke UTM.
“Kakak yang tetapkan standard kita kena belajar ke peringkat tertinggi. Dia daftar dulu di UTM, jadi kami ikut jejak dia. Memang dia inspirasi kami,”katanya.
Namun di sebalik kejayaan itu, kedua-duanya mengakui perjalanan PhD bukan mudah terutama apabila terpaksa berdepan penangguhan pengajian akibat Covid-19 selain masalah kesihatan yang menimpa Nur Athirah.
Nor Athirah berdepan dengan masalah tuang belakang, ketumbuhan dalam rahim serta apendiks.
Kedua-dua mereka berkata, kejayaan berganda itu dianggap hadiah terindah buat ibu bapa, Zaharudin Hassan, 67, dan Nor Afidah Jamari, 64, yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan kesabaran sejak kecil.
“Mak ayah selalu pesan, belajar sampai ke puncak. Hari ini kami tunaikan impian mereka,”kata Nor Athirah.
Lebih membanggakan, adik bongsu lelaki yang berusia 30 tahun turut merupakan alumni UTM selepas berjaya menanatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Rangkaian dan Keselamatan pada 2021.-KOSMO! ONLINE














