MELAKA – “Saya cuma mahu jaga dia sampai habis rawatan, sampai bila-bila,” luah Leman Jantan, 62, yang kini sah bergelar suami kepada pesakit kanser payudara tahap dua, Mahriah Abdul Majid, 59.
Menurut Leman, dia mengenali Mahriah selepas tiga tahun berjiran dan memendam hasrat untuk memperisterikan wanita itu hampir dua tahun.
Katanya, hajat itu bagaimanapun terbantut selepas dia mengalami kesukaran untuk menguruskan proses dokumen pernikahan susulan buta huruf.
“Saya memang sudah lama nak nikah dengan dia tetapi saya tak pandai urus dokumen, takut salah, jadi kali ini ada orang bantu barulah kami dapat teruskan.
“Saya kenal rapat dengan Mahriah selepas dia tak mampu ke hospital seorang diri untuk rawatan kimoterapi. Saya yang bawakan dan uruskan hal-hal hospital kerana saya tak sampai hati, saya bantu selepas tengok dia macam hilang harapan,” katanya.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan kelmarin di Masjid Cina Krubong dengan bantuan Kumpulan Sokongan Kanser Power of Love, Majlis Kanser Nasional (Makna) dan Jabatan Kerja Sosial Hospital Melaka.
Jelas Leman, dia mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan sebelum ini, namun isterinya itu telah meninggal dunia dan pernah berkahwin buat kali kedua tetapi ia juga berakhir dengan kisah sama.
“Dahulu proses pernikahannya lebih mudah, sekarang ada bahagian yang perlu dibuat secara dalam talian serta pelbagai borang perlu diisi.
“Tapi saya tak pernah pakai busana songket pengantin dan diraikan begini, sebab kehidupan saya pun bukan senang, kami ini dikategorikan sebagai golongan asnaf dan sebelum ini saya cuma buat kerja-kerja kampung saja,” ujarnya.
Sementara itu, Mahriah yang hidup seorang diri sejak 15 tahun lalu setelah berpisah dengan bekas suami mengakui, kesihatannya telah banyak berubah selepas Leman mula membawanya menjalani rawatan secara konsisten.
“Dulu rasa macam tak ada perubahan, kadang-kadang putus harap tetapi bila dia tolong, saya jadi kuat, rasa sihat sikit dan semangat naik balik,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas Kumpulan Sokongan Kanser Power of Love, Deewi Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai hajat pasangan itu pada 2 Oktober lalu sebelum menghubungi agensi berkaitan untuk membantu menguruskan dokumen pernikahan.
“Kami berusaha mendapatkan semula dokumen diperlukan seperti sijil kelahiran, nikah ibu dan bapa serta tajaan daripada pelbagai pihak supaya majlis ini diraikan dengan penuh bermakna.
“Beberapa pihak turut tampil membantu pasangan mereka termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Makna bagi meringankan kos rawatan serta kehidupan harian,” katanya.-KOSMO! ONLINE















