fbpx
Puvaneswaran menunjukkan keadaan siling rumahnya yang jatuh ke ruang tamu susulan kejadian ribut di Taman Nusari Aman 1 petang tadi. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

Lebih 20 kediaman termasuk sekolah terjejas ribut di Sendayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Lebih 20 buah rumah termasuk sekolah terjejas serta beberapa batang pokok tumbang di Sendayan di sini berikutan kejadian ribut kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Tinjauan Kosmo! ke lokasi mendapati penduduk bergotong-royong mengangkat atap dan bumbung yang terbang, selain sebuah kereta rosak terkena tong sampah yang diterbangkan angin.

Pengerusi Persatuan Penduduk Nusari Aman 1, Mohd Faizal Khabibor Rahman, 41, ketika kejadian rata-rata penduduk tidak berada di rumah kerana bekerja termasuk dirinya sedang berniaga, namun maklumat kejadian dikongsikan dalam kumpulan media sosial penduduk setempat. “Bila tengok video pos pengawal terbalik, saya dah rasa tak sedap hati kerana sepanjang 13 tahun saya menetap di taman ini, belum pernah lagi kejadian seperti ini berlaku. Memang ada angin kuat, tapi tak pernah jadi macam ni.

“Bila penduduk balik, baharu mereka kongsikan berapa banyak kerosakan dan dianggarkan di taman ini sahaja ada 12 buah rumah terjejas, selain kemungkinan dua sekolah berdekatan juga turut terkena tempias,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memotong pokok tumbang susulan kejadian ribut di Taman Nusari Aman 1 petang tadi. – Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

Seorang mangsa ribut, R Puvaneswaran, 36, berkata, dia bersyukur ketika kejadian isteri, G Reveti, 36, yang sedang mengandung empat bulan serta tiga anak berusia lima hingga lapan tahun tidak berada di rumah kerana bekerja serta bersekolah petang.

“Saya dah menetap di sini empat tahun. Bila dapat tahu dari jiran kejadian ini, saya terus balik ke rumah. Bila buka pintu saya terkejut lihat siling jatuh ke ruang tamu. Bilik rosak dimasuki air hujan. Sedih rasanya. Buat masa ini kami akan tinggal di rumah keluarga yang lain kerana rumah rosak teruk,” katanya.

Difahamkan, selain Taman Nusari Aman 1A, dua lagi taman terjejas adalah Taman Nusari Bayu 1 Fasa 3 dan Taman Nusari Bayu 2, Fasa 2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI