PERNAH suatu ketika dahulu, guru dianggap insan suci di medan ilmu, mulutnya berbicara hikmah, tangan kanannya mendidik bangsa.
Namun, zaman berubah. Hari ini, berita tentang pelajar menengking, menolak, malah memukul guru bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.
Fenomena ini memperlihat satu realiti pahit, nilai hormat terhadap insan bergelar pendidik kian terhakis dari jiwa generasi muda.
Persoalannya, di mana hilangnya adab yang dahulu menjadi nadi pendidikan bangsa? Apakah anak-anak kita benar-benar kehilangan panduan moral atau sistem sosial hari ini yang gagal membentuk sempadan antara hormat dan kebebasan bersuara?
Menurut Pegawai Psikologi dan Kaunselor Berdaftar, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd. Khalid, sikap pelajar terhadap guru mempunyai kaitan kukuh dalam perkembangan psikologi remaja.
“Kalau kita lihat remaja berusia 13 hingga 17 tahun, mereka sedang melalui fasa dipanggil ‘identiti versus kekeliruan peranan’ dalam teori perkembangan Erik Erikson.
“Dalam tempoh ini, mereka mencari siapa diri mereka sama ada di rumah, sekolah, media sosial atau kalangan rakan. Bila ditegur, mereka rasa tercabar kerana ego masih rapuh dan keinginan diiktiraf sangat kuat.
“Dulu, guru satu-satunya suara didengar. Sekarang, remaja ada platform sosial media dan komuniti rakan sebaya yang menjadi rujukan baharu. Mereka mula membandingkan autoriti dan akhirnya berani bersuara. Kes pelajar berusia 14 tahun menumbuk guru di Kajang, misalnya cerminan impulsiviti remaja yang gagal mengawal emosi ketika ego mereka terusik,” katanya.
Ditanya sama ada tingkah laku biadab terhadap guru berpunca daripada kegagalan didikan di rumah, Dr. Raja Kamariah bersetuju bahawa sosialisasi awal memainkan peranan besar.
“Ya, akar masalah bermula dari rumah. Apabila ibu bapa terlalu permisif, anak dibesarkan tanpa sempadan emosi. Mereka tidak dilatih untuk memahami akibat tindakan, tidak belajar mengawal marah dan gagal mengasah empati.
“Maka bila ditegur, mereka melihatnya sebagai ancaman, bukan didikan. Anak yang tidak pernah diajar tentang tanggungjawab akan mudah bertindak balas secara impulsif. Mereka tidak faham beza antara teguran dan penghinaan.
“Bila melihat di media sosial bagaimana orang lain berani menentang, mereka pun terikut. Lama-kelamaan, keberanian itu menjadi kebiasaan hingga hilang nilai hormat terhadap guru,” jelasnya.
Paling penting kata Raja Kamariah, pihak sekolah perlu menekankan pendekatan disiplin pemulihan.
Sementara itu, guru sekolah rendah, Nurul Alia Norhisham melihat realiti pendidikan hari ini sebagai cerminan peralihan zaman yang mencabar.
“Sebagai guru, saya akui murid sekarang jauh berbeza. Mereka cepat membalas dan berani menyanggah. Zaman dulu, murid menunduk bila ditegur, tapi kini ramai terus menjawab.
“Apabila masyarakat sendiri mempersendakan guru di media sosial, murid pun terikut. Mereka lihat bagaimana pendidik dihina secara terbuka, lalu hilang rasa hormat. Lama-kelamaan, semua itu menanam fahaman bahawa guru tidak perlu disanjung,” ujarnya.
Tambah Alia, tekanan kerja guru juga antara faktor yang menjarakkan hubungan emosi antara pendidik dan pelajar. – KOSMO! ONLINE















