fbpx
ORANG ramai melihat serpihan yang dikutip di lokasi nahas pesawat Boeing 737 Max di Bishoftu, 60 kilometer ke tenggara Addis Ababa, Ethiopia pada 11 Mac 2019. – AFP

Keluarga mangsa nahas Boeing 737 Max dapat pampasan lebih RM115 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Panel juri mahkamah persekutuan menganugerahkan pampasan lebih AS$28 juta (RM115.64 juta) kepada keluarga seorang perunding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terkorban dalam nahas melibatkan pesawat Boeing 737 Max di Ethiopia lebih enam tahun lalu, lapor saluran berita CBS News semalam

Keputusan itu dicapai kelmarin bagi pihak waris Shikha Garg selepas dua jam perbincangan juri yang mengakhiri perbicaraan selama seminggu di Chicago.

Ia adalah perbicaraan sivil pertama berpunca daripada nahas pada Mac 2019 itu  yang mengorbankan kesemua 157 orang dalam Penerbangan Ethiopian Airlines 302.

“Kami dan keluarga berpuas hati dengan keputusan juri. Ia memberikan akauntabiliti awam untuk salah laku Boeing,” kata peguam keluarga mangsa, Shanin Specter dan Elizabeth Crawford dalam satu kenyataan selepas keputusan dibacakan mahkamah.

Boeing akan membayar tambahan AS$3.45 juta (RM14.25 juta) kepada suami Garg, Soumya Bhattacharya, sebagai sebahagian daripada persetujuan antara dia dan syarikat pembina pesawat itu yang dicapai di luar mahkamah.

Angka tersebut bersama caj faedah 26 peratus menjadikan jumlah keseluruhan yang akan dibayar oleh Boeing kepada keluarga Garg adalah sebanyak AS$35.8 juta (RM147.85 juta).

Boeing telah merundingkan penyelesaian praperbicaraan dalam kebanyakan puluhan tuntutan saman kematian yang difailkan berkaitan nahas itu dan bencana 737 Max serupa lima bulan sebelumnya di luar pantai Indonesia, walaupun butiran penyelesaian adalah sulit dan tidak didedahkan.

Peguam-peguam terlibat berkata, kurang daripada 12 tuntutan saman masih belum diselesaikan.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Boeing memohon maaf kepada semua keluarga mangsa dan berkata, pihaknya menghormati hak mereka untuk meneruskan tuntutan di mahkamah.

Garg yang merupakan perunding untuk Program Pembangunan PBB sedang dalam penerbangan untuk menghadiri perhimpunan alam sekitar  badan dunia itu di Nairobi, Kenya apabila nahas berlaku. – AGENSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN