PETALING JAYA – Pengalaman manis, penyanyi Aisha Retno sebak apabila berpeluang bertentang mata dengan bintang Hollywood, Ariana Grande dan Cynthia Erivo ketika menghadiri acara karpet kuning tayangan perdana Wicked: For Good di Universal Studios Singapore, semalam.
Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, dijemput khas ke acara berprestij tersebut dipercayai kerana dia pernah terlibat sebagai pelakon suara untuk filem Wicked versi Bahasa Malaysia.
“Mewakili Malaysia untuk tayangan perdana filem Wicked, saya sayang awak Ari (nama panggilan Ariana). Saya sayang awak, Cynthia.
“Hidup saya berubah menjadi lebih baik kerana dua individu hebat ini. Saya menjadi peminat mereka sejak dahulu lagi,” katanya dalam Instagram.
Bukan sekadar bertentangan mata, pelantun lagu Sutera itu turut memanfaatkan peluang berharga tersebut dengan menyanyi lagu runut bunyi For Good bersama Ariana dan Cynthia
Lebih manis, Aisha menghadiahkan kedua-dua pelakon utama filem Wicked cederamata berupa kain batik Malaysia sebagai tanda kenangan.
Sebelum ini, Aisha terpilih menjadi penyumbang suara untuk watak Glinda, yang dilakonkan Ariana Grande dalam versi alih suara Bahasa Malaysia bagi filem Wicked. – KOSMO! ONLINE














