fbpx
Sebahagian pelanggan beratur untuk menunggu giliran menukar wang di salah sebuah kaunter pengurup wang di Kuala Lumpur semalam.

Rakyat ‘berlumba’ tukar duit pergi melancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kaunter-kaunter pengurup wang tidak menang tangan melayan pelanggan apabila diserbu oleh mereka yang merancang untuk bercuti ke luar negara ekoran kadar tukaran yang lebih tinggi berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar kebelakangan ini.

Pelanggan mengakui sekarang merupakan masa ‘emas’ buat me­reka apabila mendapat tukaran tinggi dan keadaan di sesete­ngah pengurup wang sesak semasa tengah hari ekoran pekerja mengambil kesempatan menukar wang ketika waktu rehat.

Setakat pukul 5 petang semalam, kadar tukaran AS$1 bersamaan dengan Ringgit Malaysia 4.13 dan keadaan itu telah bertahan secara konsisten sejak beberapa hari lalu.

Ringgit dibuka tinggi berban­ding dolar AS dan disokong oleh penurunan berterusan hasil Perbendaharaan AS.

Rata-rata pelanggan yang ditemui mengakui ia masa sesuai untuk menukar wang asing sebelum nilai ringgit berkemungkinan kembali berubah mengikut pasaran global.

Ada antara mereka sudah menunggu peluang itu sejak beberapa bulan lalu kerana tidak tahan menanggung kos perjalanan ke luar negara yang semakin tinggi dan oleh sebab itu, penjimatan bagi setiap sen amat bermakna ketika melancong.

Ahmad Faiz Abdul Walid, 29, berkata, dia sanggup mengambil cuti bersama isterinya, Nurul Najihah Mohd Jamalluddin, 28, untuk menukar rupiah.

Katanya, sekarang merupakan masa terbaik untuk menukar wang ekoran mereka berdua akan berbulan madu ke Jakarta pada awal bulan depan.

“Kami dapat tukar 2 juta rupiah pada harga RM501 sahaja berbanding RM600 sebelum ini selepas beratur antara 20 hingga 30 minit. Lama kami tunggu dari bulan enam kami berkahwin lagi.

“Tak sangka ringgit naik masa kami nak pergi bulan madu. Memang masa yang tepat dan sesuai sangat. Banyak boleh jimat sebab kami pun pergi berdua sahaja,” katanya.

Bagi Nurin Hannani Kamilan, 28, pula dia menukar ringgit ke baht selepas mengikuti rapat perkembangan nilai mata wang sejak bulan lalu.

Pentadbir projek itu membe­ritahu, dia mendapat 24,208.38 bhat dengan modal RM3,095 ­untuk bercuti ke Hatyai dengan keluarganya pada bulan depan.

“Saya memang dah survey dari awal bulan. Kali pertama pergi Hatyai dulu, baht agak tinggi. Tapi sekarang bila ringgit naik macam ni, inilah masa pa­ling sesuai nak tukar untuk satu keluarga sekali gus.

“Bila bhat murah, banyak boleh beli-belah dan makan. Saya harap nilai ringgit terus mengukuh supaya kami rakyat boleh merasa melancong luar negara,” ujarnya.

Nur Allysya Ashiqien, 27, pula berkata, selain menukar ringgit secara fizikal di pengurup wang, dia turut menukar di platform kewangan antarabangsa, Wise.

Wise ialah akaun kewangan digital yang fokus pada transaksi antarabangsa yang digunakan oleh ramai orang untuk memindahkan duit ke luar negara, terima bayaran dalam mata wang asing, dan kad debit antarabangsa.

Allysya berkata, matawang di Wise lebih murah berban­ding fizikal membuatkan dia telah menukar RM500 kepada matawang won ekoran akan bercuti ke Korea Selatan pada Januari depan.

“Bila ringgit naik macam ni, won pula tengah murah, saya memang tak tunggu lama. Tukar siap-siap walaupun nak pergi lagi dua bulan sebab kita tak tahu bila lagi akan naik setinggi macam ni.

“Sebagai seorang yang suka melancong ke luar negara, ini adalah masa ‘emas’ buat saya. Banyak kos boleh dijimatkan ketika bercuti dan boleh beli cenderamata banyak-banyak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN