LANGKAWI – Penempatan Bukit Malut di sini memang menjadi destinasi utama pelarian Rohingya yang datang dari Myanmar sejak dulu untuk memulakan kehidupan lebih baik di negara ini.
Penempatan itu sebelum ini pernah menjadi kontroversi beberapa tahun lalu kerana dikatakan jumlah penduduk terdiri daripada pelarian Rohingya bertambah setiap masa dan jumlah mereka dikatakan mencecah puluhan ribu orang dan ada yang didakwa menceroboh tanah rizab hutan paya bakau untuk dijadikan penempatan.
Pelarian etnik Rohingya yang berada di perkampungan itu biasanya bekerja sebagai nelayan atau melakukan kerja-kerja kampung.
Pelarian ini selalunya memegang kad pelarian UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian) terpaksa melakukan kerja-kerja tersebut kerana undang-undang di Malaysia tidak benarkan mereka untuk bekerja secara sah.
Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Azmi, 65, berkata, ada antara mereka yang menyewa daripada penduduk tempatan di sekitar Langkawi, selain tinggal di penempatan haram Bukit Malut.
“Ada tuan rumah yang tidak kisah kepada siapa mereka menyewakan rumah atau bilik yang mereka ada yang penting mereka terima bayaran tepat pada masanya.
“Kalau yang tinggal di Bukit Malut pula mereka biasanya tidak begitu bergaul dengan masyarakat di sini, ibarat terasing daripada komuniti tempatan dan hanya berada di dalam kelompok mereka sendiri,” katanya.
Seorang lagi nelayan yang hanya dikenali sebagai Saiful, 48, berkata, selama hampir 30 tahun dia bekerja sebagai nelayan di sini, dia tidak pernah bertemu dengan bot pelarian ini di laut.
“Saya biasa melihat etnik Rohingya ini bekerja sebagai kru bot nelayan tempatan atau mengambil upah dengan kerja-kerja kampung, tetapi kebanyakan mereka seperti sudah lama menetap di sini kerana sudah fasih berbahasa Melayu.
“Kalau ada sekali pun mereka ini yang berjaya sampai ke darat, tiada penduduk akan melindungi mereka dan pastinya akan menyerahkan pelarian ini kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu terlibat dengan aktiviti haram,” katanya.














