QUITO – Sekurang-kurangnya 27 banduan ditemui mati akibat kekurangan oksigen di sebuah penjara Ecuador tengah hari semalam di mana rusuhan bersenjata menyebabkan empat lagi maut dan berpuluh-puluh orang cedera.
Pihak berkuasa penjara Ecuador berkata, 27 individu yang ditemui mati di Penjara Machala, wilayah El Oro itu mengalami ‘sesak nafas selepas menggantung diri’.
Pihak berkuasa masih berusaha untuk ‘menjelaskan sepenuhnya fakta kejadian’.
Hari berdarah di Penjara Machala itu menandakan pergolakan terbaru di penjara Ecuador.
Penjara-penjara Ecuador menjadi pusat operasi bagi kumpulan-kumpulan pengedar dadah yang berseteru, dengan lebih 500 banduan terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan-kumpulan yang bersaing untuk mengawal perdagangan barang haram itu.
Insiden pagi semalam berlaku sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan) di Penjara Machala, barat daya Ecuador.
Penduduk tempatan mendengar bunyi tembakan, letupan dan jeritan meminta tolong dari penjara tersebut.
Pihak berkuasa penjara Ecuador, SNAI mengeluarkan kenyataan mengatakan, empat orang terbunuh dalam keganasan itu, manakala 33 lagi banduan dan seorang pegawai polis cedera tidak termasuk 27 banduan yang ditemui mati.
Pasukan elit polis berjaya mengawal semula keadaan selepas rusuhan berlaku, kata SNAI.
Keganasan dipercayai berkaitan dengan rancangan untuk memindahkan sebilangan banduan ke penjara keselamatan maksimum baharu yang dibina oleh kerajaan pimpinan Presiden Daniel Noboa di wilayah lain yang akan dirasmikan pada bulan ini. – AFP














