DUNGUN – Pencarian dua beradik yang lemas ketika mandi di Sungai Beril, Paka, di sini, berakhir dengan penemuan mayat mangsa kedua sebentar tadi.
Mayat Muhammad Aidil Amsyar Mohd. Zul-Zunaidi, 14, ditemukan pada pukul 9.55 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling, Marang itu ditemui pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa (Muhammad Aidil Amsyar) ditemukan penduduk kampung dalam keadaan terapung berhampiran sebuah jeti di Pasar Paka di sini.
“Pengecaman mayat telah dibuat oleh ibu bapa mangsa di lokasi kejadian,” katanya ketika di sini hari ini.
Jumaidy berkata, mayat Muhammad Aidil Amsyar telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mayat abang mangsa, Muhammad Amir Ashraf, 15, yang juga merupakan pelajar tingkatan tiga sekolah yang sama ditemui kira-kira pukul 3.47 petang semalam.
Kedua-dua beradik itu mandi di sungai tersebut bersama dua rakannya iaitu Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, 14 dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15, pada pukul 10.50 pagi. – KOSMO! ONLINE














